Angkara janji manis, 1,168 pembeli pangsapuri menanggung beban kewangan - Utusan Malaysia

Angkara janji manis, 1,168 pembeli pangsapuri menanggung beban kewangan

PEMBELI projek perumahan Aspire Residence berkumpul membuat bantahan atas kelewatan pemaju menyiapkan projek pembinaan rumah Aspire Residence, di Cyber 10, Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perabot baharu, rebat wang tunai dan pelbagai kemudahan lain antara insentif dan janji-janji manis yang ditawarkan pemaju perumahan Pangsapuri Aspire Residence, di sini yang  menjadi tarikan pembeli memiliki kediaman tersebut.

Dijanjikan tempoh pembinaan pangsapuri yang memiliki 1,168 unit bermula Ogos 2016 dan dijangka siap serta boleh didiami pada Ogos 2020 mengikut blok, ia menjadi igauan buruk buat pembeli apabila projek berkenaan masih gagal disiapkan sehingga hari ini.

Berdasarkan maklumat, projek pembinaan perumahan pangsapuri tiga blok itu dijangka siap mengikut blok masing-masing iaitu Blok 1 siap sepenuhnya pada 23 Ogos 2020, Blok 2 (11 Mac 2021) dan Blok 3 (31 Jan 2022).

Dua tahun tempoh yang dilalui pembeli dengan bayaran sepenuhnya telah diselesaikan ke atas pinjaman perumahan dari institusi kewangan nyata memberikan kesan ketara terutamanya melalui fasa pandemik Covid-19.

Salah seorang pembeli, Noorhaida Marzuki, 42, dia membeli unit rumah di Blok 1 kerana minat dengan pelbagai tawaran yang dijanjikan pemaju.

“Sebelum membeli rumah ini saya pernah meninjau projek perumahan berhampiran, namun tawaran dikemukakan pemaju ini lebih menarik menyebabkan saya membuat keputusan membelinya.

“Mengikut kepada perjanjian asal unit rumah saya di Blok 1 ini, pembinaan bermula pada 0gos 2016 dijangka siap dalam tempoh empat tahun kemudian. Walaupun kami telah mengemukakan pertanyaan kepada pemaju, mereka memberikan alasan pandemik Covid-19.

“Alasan ini sememangnya tidak boleh diterima kerana beberapa projek perumahan berhampiran yang pembinaannya bermula lewat darinya telah siap dan sudah pun dapat didiami,” jelas suri rumah itu dalam sidang akhbar bersama hampir 100 pembeli pangsapuri berkenaan yang berhimpun secara aman sebagai satu tindakan protes, di sini hari ini.

Bagi pekerja syarikat penerbangan tempatan, Nur Fadilla Mohd hanafiah, 38, pula berkata, janji manis termasuklah tawaran rebat sehingga RM45,000 dengan hanya perlu membayar wang pendahuluan rendah, banyak mempengaruhi pembeli.

“Mereka berjanji segala-galanya pada awal, namun apabila masalah ini dikemukakan kepada pemaju menerusi e-mel, mereka memberi alasan masalah Covid-19 menyebabkan pembinaan tergendala.

“Ini satu alasan tidak masuk akal kerana dalam tempoh kerajaan sudah membenarkan kerja-kerja pembinaan beroperasi semula, saya lihat tiada langsung aktiviti pembinaan bagi projek ini disambung semula,” katanya.

Tegasnya, makluman secara bertulis menerusi surat telah dikemukakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk membantu mencari jalan penyelesaian.

“Sampai bila saya perlu menyewa rumah lain dan pada masa sama kena bayar unit rumah yang dibeli ini yang sehingga kini tidak diketahui tempoh masa dan status untuk didiami,” katanya.

Utusan Malaysia akan mendapatkan maklum balas pemaju mengenai hal tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN