GEORGE TOWN : Kerajaan Pulau Pinang senada dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dalam masa terdekat ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik global.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebaliknya, tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada usaha pembangunan negara dan menangani pelbagai isu yang memberi kesan kepada rakyat serta ekonomi negara.
Menurutnya, perubahan landskap geopolitik dunia termasuk isu kenaikan tarif serta konflik di Asia Barat telah memberi impak besar kepada Malaysia, khususnya dari segi sumber dan harga tenaga.
“Kita faham bahawa negara kita kini dalam satu fasa yang amat mencabar ekoran perubahan geopolitik dunia yang sudah mula sejak tahun lepas khususnya dengan isu kenaikan tarif. Kemudian, perang di Asia Barat memburukkan lagi keadaan dari segi sumber dan harga tenaga yang turut membawa impak besar kepada negara kita.
“Justeru, dalam suasana ini, saya percaya bahawa Perdana Menteri ingin menumpukan perhatian kepada pembangunan negara, menangani isu-isu berkaitan dan memantapkan keadaan,” katanya selepas menghadiri sidang akhbar mengenai penganjuran Perayaan Warisan George Town 2026 di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa tiada keperluan untuk mengadakan PRU-16 dalam masa terdekat kerana kerajaan mahu memberi fokus kepada keperluan rakyat terlebih dahulu.
Kon Yeow berkata, berdasarkan tempoh pentadbiran yang masih berbaki di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri, tiada keperluan mendesak untuk mengadakan pilihan raya mengejut ketika ini.
“Pada peringkat ini, saya melihat mungkin tidak perlu ada pilihan raya mengejut diadakan dan menggunakan masa yang masih ada untuk menumpukan perhatian kepada isu negara serta pembangunan negara.
“Di Pulau Pinang kita memang selari dengan hasrat ini. Saya pun pernah cakap, kita akan ikut apa yang diputuskan, apa yang terbaik sekali untuk negeri dan untuk negara,” katanya.










