Angau sunyi tengah malam - Utusan Malaysia

Angau sunyi tengah malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENIMAN multidisiplin, Mohd. Jayzuan tampil dengan album solo ketiga. Siapa Mohd.
Jayzuan? Ah, terlalu panjang untuk saya tuliskan di sini. Cukuplah saya beritahu, mamat rabak dari Ipoh ini satu-satunya sosok yang diberi penghargaan dua artikel berturut-turut dalam kolum Rondivu setakat ini (ramai lagi yang saya mahu beri penghargaan ini tapi masih belum ada kesempatan. Jika Rondivu berumur panjang, in sya-Allah akan ada nanti).

Dalam artikel tahun lalu, Jayzuan ada sebut, sebagai seniman penting untuk kita cari suara sendiri. Bagi saya, Jayzuan sudah lama jumpa suaranya sendiri. Suara Jayzuan ialah suara yang tak sedap.

MENGENAL KELABU

Jangan kecam dulu. Apabila saya kata suara seseorang tak sedap, saya maksudkan tak sedap mengikut takrifan konvensional dan massa. Takrifan itu meletakkan Anuar Zain dan Hazami sebagai penanda aras vokal lelaki manakala Christina Aguilera dan Siti Nurhaliza untuk vokal perempuan.

Mohd. Jayzuan antara sosok awal yang mengajar saya untuk menghargai vokal yang barai dalam menilai muzik, selain Noh Salleh dan vokalis kugiran Piring Hitam yang saya tidak kenal siapa.

Saya kenal Jayzuan pun melalui Noh Salleh. Sebagai seorang peminat kugiran Hujan yang naif dan tiada akses mahupun modal untuk berjumpa kugiran itu, saya sentiasa teruja melihat wajah Noh.

Apabila terserempak video muzik Gadis Elektrik belasan tahun dahulu, dan saya lihat Noh ada dalam muzik video itu, saya teruja. Lalu
saya jatuh cinta dengan Gadis Elektrik walaupun lagunya sangat ringkas dan lontaran vokal Jayzuan tidak seperti penyanyi biasa.

Kemudian saya bertemu lagu Selamat Tinggal. Ketika itu saya putuskan, saya suka Mohd. Jayzuan.

Jayzuan mengajar saya untuk menerima kenyataan bahawa dunia ini subjektif. Dia memperkenalkan saya kepada ruang kelabu antara sedap dengan tak sedap, antara seni dengan tak seni.

CINTAKAN KECANTIKAN

Album ketiga Jayzuan diletak tajuk Filokalis. Filokalis bermakna cinta kepada kecantikan. Album ini ada lima lagu dengan durasi penuh tidak sampai 16 minit. Adakah ini sebuah album? Silakan bergaduh.

Jayzuan mendapatkan khidmat penerbit dari Jakarta, Adink Permana untuk album ini. Adink pernah terlibat dengan rakaman album Payung Teduh, Sore dan Noh Salleh. Jadi, anda tahu apa nak jangka. Kata Adink, album ini bukan lagu tetapi doa yang menyala
(fervent prayer).

Kelima-lima lagu ini disusun dengan cantik. Jika didengar mengikut turutan, ia bagaikan mendengar tiga lagu sahaja. Telang Ungu dan Dhanjelita bagai satu lagu, begitu juga Februari 11 dan Rintih Pesan. Anya penutup tunggal. Selain bunyian synthesizer yang memang bersambung, emosi dan melodi Telang Ungu dan Dhanjelita serta Februari 11 dan Rintih Pesan memang hampir sama.

Kelima-lima lagu penuh dengan kata-kata puja kepada seseorang yang saya fikir bukan saja cantik, malah sempurna dalam semua sisi.

ANGAU YANG INTIM

Gaya rakaman dan instrumen yang minimal buatkan saya terfikir, ini sebuah kisah cinta imaginari. Seorang gagalis cinta mendendangkan lagu buat kekasih bayangan di dalam bilik tidur pada waktu sepertiga malam. Meluahkan perasaan yang tak mampu diucap di alam realiti.

Mungkin interpretasi ini terlalu pekat dipengaruhi pengalaman peribadi tetapi itulah yang saya dapat. Apa sebenarnya yang mahu Jayzuan sampaikan, itu kena tanya dia.

Yang saya pasti, puisi-puisi yang dijadikan lirik dalam album ini sangat intim. Bagi sesetengah kita, puisi-puisi sebegini hanya akan tinggal dalam buku nota, tidak mungkin dihebahkan kepada orang ramai.

Album ini menjual kejujuran dan keaslian. Ini bukan strategi pasaran yang baik tetapi dalam dunia yang sudah empat kali industrinya berevolusi ini, kita perlu jelir lidah saja pada pasaran.

Album ini pun dijual pada harga RM10 sahaja. Ian Mackaye suruh, kata Jayzuan. Jadi ramai-ramailah kita jelir lidah pada pasaran dan kehendaknya dengan membeli album ini.

Kalau awak percaya muzik itu peneman, belilah album ini. Kalau awak terlalu kusut dengan dunia yang bingit, belilah album ini. Kalau awak tak mahu beli album ini, suka hatilah, duit awak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya