TAMPIN: Tentera Darat akan menubuhkan pasukan inkuiri bagi melihat semula beberapa aspek dalam pasukan itu termasuk dalam soal keselamatan dan tadbir urus.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, langkah itu bagi mengelakkan kejadian amuk dan bunuh diri dalam kalangan anggota seperti yang berlaku di Sarawak, semalam tidak berulang.
“Buat masa ini siasatan telah dilakukan, kami serahkan kepada polis untuk menentukan jika ada unsur jenayah di situ. Kami tidak mahu ganggu siasatan polis, namun nanti kami akan buat sidang khas bagi jawab dan menerangkan kejadian ini supaya tiada salah faham.
“Tentera Darat juga sedang menunggu untuk menubuhkan pasukan inkuiri bagi menentukan daripada beberapa aspek operasi keselamatan dan tadbir urus pasukan serta tentera darat untuk tentukan kejadian tersebut tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2021 yang diadakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin hari ini.
Semalam, media melaporkan, seorang anggota tentera maut selepas bertindak menembak dirinya sendiri dalam kejadian amuk di Kampung Kolong, Sungai Tengah, Matang, Kuching, Sarawak.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari itu, suspek berusia 29 tahun yang berseragam lengkap dikatakan tiba di rumah mentuanya dan melepaskan beberapa das tembakan rambang.
Tembakan itu turut terkena bahu kiri ibu mentuanya yang berusia lingkungan 50-an.
Suspek berpangkat lans koperal dan bertugas di Rejimen Sempadan ke-10 itu kemudian bertindak menembak kepalanya sendiri dan mati di tempat kejadian manakala ibu mentuanya yang cedera kini dirawat di hospital.
Suspek meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan hasil dua tahun perkahwinan.
Sementara itu, Affendi menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang menyedihkan dan ATM akan menguruskan segala kebajikan keluarga Allahyarham.
“Sedih untuk dinyatakan bahawa kejadian itu telah berlaku, saya ambil kesempatan untuk ucap takziah kepada keluarga mereka.
“Segala pengurusan kebajikan untuk keluarga arwah kita sedang ambil tindakan untuk menentukan bahawa balu dan anak arwah dapat sokongan dan pertolongan yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE