Alat bantuan pelayaran dalam keadaan selamat - Utusan Malaysia

Alat bantuan pelayaran dalam keadaan selamat

ANTARA alat bantuan pelayaran bagi membantu pelayar di perairan Johor Timur dan Barat khususnya pada waktu malam di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan terhadap alat bantuan pelayaran di perairan Johor Timur dan Barat berada dalam keadaan baik bagi mengelak sebarang kemalangan berlaku.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Trafik Maritim dan Bantuan Pelayaran, Noranita Md. Saleh berkata, alat bantuan pelayaran itu penting lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Menurutnya, fungsi utama alatan itu adalah untuk mengelak risiko kemalangan seperti pelanggaran kapal, kapal tersangkut di kawasan cetek atau hilang panduan.

“Walaupun masih tiada laporan berkenaan insiden itu yang dilaporkan sepanjang tahun ini, namun pemantauan dan pemeriksaan tetap perlu dilakukan secara berkala.

“Secara keseluruhan terdapat 57 pelampung pandu di perairan Johor Timur dan Barat, 53 pemancar dan satu rumah api yang terletak di Bukit Segenting Batu Pahat yang berperanan sebagai alat bantuan pelayaran.

“Kesemua alat bantuan pelayaran ini berperanan untuk panduan navigasi kepada pengguna pelayaran termasuk kapal, bot pemancing dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika membuat pemantauan alat bantuan pelayaran di perairan Johor Barat di sini.

Tambah Noranita, pihaknya bertanggungjawab memastikan setiap alat bantuan pelayaran mematuhi tahap ketersediaan iaitu sebanyak 97 peratus dalam masa setahun. 

“Jadi sekiranya ada lampu alat bantuan terpadam, ia perlu diperbaiki seberapa segera dan tidak boleh terpadam lebih daripada tempoh 48 jam.

“Kalau kita dapat aduan ada lampu daripada alat bantuan pelayaran tidak menyala, kurang kerlipan atau kurang pencahayaan, maka juruteknik kita akan membaikinya tidak mengira waktu siang atau malam,” jelasnya.

Menurutnya, seramai empat juruteknik Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan yang ditugaskan untuk memantau dan memeriksa alat bantuan berkenaan.

Noranita turut memaklumkan pelampung pandu berperanan sebagai penandaan bagi laluan keluar atau masuk serta penandaan terdapat sesuatu di permukaan bawah laut seperti kapal tenggelam, manakala pemancar pula penandaan bagi kawasan cetek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN