TEHERAN: Penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, iaitu Mohsen Rezaei pada Rabu memberi amaran bahawa negaranya akan menenggelamkan kapal-kapal Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz jika AS memutuskan untuk mengawal laluan perkapalan strategik itu.
Washington sedang mengenakan sekatan ketenteraan di Selat Hormuz selepas Iran menghalang perkapalan sepanjang lebih enam minggu perang dalam konflik yang kini ditangguhkan sementara ketika gencatan senjata rapuh selama dua minggu masih berkuat kuasa.
“Trump mahu menjadi polis Selat Hormuz. Adakah ini benar-benar tugas anda? Adakah ini tugas sebuah tentera yang berkuasa seperti AS?” kata Rezaei, bekas ketua komander Kor Pengawal Revolusi Iran yang dilantik sebagai penasihat ketenteraan oleh Khamenei bulan lalu, kepada televisyen kerajaan.
“Kapal-kapal anda ini akan ditenggelamkan oleh peluru berpandu pertama kami dan telah mewujudkan bahaya besar kepada tentera AS. Mereka sememangnya boleh terdedah kepada peluru berpandu kami dan kami boleh memusnahkannya,” kata Rezaei, sambil memakai uniform tenteranya, kepada penyiar kerajaan itu.
Sejak sekian lama dianggap sebagai tokoh keras walaupun dalam kalangan Kor Pengawal Revolusi, Rezaei berkata, adalah bagus jika AS melancarkan pencerobohan darat ke atas Iran kerana Teheran akan mengambil ribuan tebusan.
“Kami kemudian akan mendapat AS$1 bilion (RM3.94) tebusan bagi setiap tebusan,” ujarnya.
Beliau turut menambah, tanpa memberikan butiran lanjut: “Saya sama sekali tidak menyokong lanjutan gencatan senjata dan ini adalah pandangan peribadi saya.”
Seorang veteran dan tokoh berprofil tinggi di Iran, Rezaei mengetuai Pasukan Pengawal Revolusi dari tahun 1981 hingga 1997.
Pusingan pertama dan setakat ini satu-satunya rundingan Iran dengan AS selepas tercetusnya perang diketuai di Pakistan oleh Speaker Parlimen negera itu, Mohammad Bagher Ghalibaf. – AFP










