Ramai individu kelihatan berjaya dari luar tetapi mereka sebenarnya bergelut dengan tekanan, keresahan dan kemurungan yang tidak kelihatan.
Kesihatan mental kini menjadi isu kesihatan awam yang semakin serius. Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 menunjukkan peningkatan kes kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Lebih membimbangkan, sebahagian individu turut berfikir untuk mencederakan diri. Situasi ini membuktikan kesihatan mental bukan lagi isu kecil tetapi cabaran nasional yang perlu ditangani segera.
Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, tekanan emosi turut meningkat. Ramai gagal mengesan tanda awal gangguan mental, menyebabkan rawatan berlaku lewat.
Keadaan ini boleh menjejaskan prestasi pelajaran, hubungan sosial dan masa hadapan mereka. Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu lebih peka terhadap perubahan emosi anak-anak.
Stigma masyarakat juga memburukkan keadaan. Ramai masih menganggap masalah mental sebagai kelemahan diri atau kurang iman. Sikap ini menyebabkan individu memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan.
Sebenarnya, gangguan mental ialah keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan profesional seperti penyakit fizikal lain.
Kesihatan mental turut memberi kesan kepada produktiviti kerja. Tekanan emosi yang tidak terkawal boleh menyebabkan keletihan kerja, ketidakhadiran dan penurunan prestasi. Dalam jangka panjang, ia turut memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara.
Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan. Sekolah perlu mendidik pengurusan emosi, tempat kerja perlu menyediakan persekitaran sihat dan keluarga perlu menjadi ruang selamat untuk mendengar tanpa menghakimi.
Individu juga perlu berani mengenali had diri dan mendapatkan bantuan apabila perlu.
Kesihatan sebenar bukan hanya tubuh yang kuat tetapi juga minda yang tenang. Jika kita mahu membina masyarakat yang sejahtera, maka perlu memberi perhatian seimbang kepada kedua-duanya.
Badan yang sihat membantu kita bergerak tetapi minda yang sihat membolehkan kita hidup dengan lebih bermakna dan harmoni. – UTUSAN
NURUL HAWA UMAIRAH FAIZAL
& NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau










