Jaga kesihatan mental remaja

Jaga kesihatan mental remaja

BEBERAPA langkah boleh diambil bagi menghasilkan perubahan ketara dalam kesihatan mental remaja dalam tempoh dua tahun jika diterap secara meluas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2019, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari Sarawak menamatkan hidupnya selepas menyiarkan undian di Instagram bertanya sama ada dia harus hidup atau mati; dilaporkan 69 peratus pengikutnya memilih “mati”. Tragedi ini mengejutkan negara dan membuka mata ramai terhadap bahaya media sosial dan pengaruh rakan maya terhadap emosi remaja.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 mendapati dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun: Satu daripada 10 mengalami stres, satu daripada lima menghidap kemurungan, dan dua daripada lima mengalami kegelisahan.

Lebih membimbangkan, 10 peratus pernah terfikir membunuh diri (naik dari 7.9 peratus pada 2012), dan 6.9 peratus pernah mencuba membunuh diri (berbanding 6.4 peratus pada 2012). Data ini memberi amaran bahawa kesihatan mental remaja kini semakin terancam.

Kajian tempatan juga mendapati penggunaan skrin secara berlebihan dikaitkan dengan kesan emosi negatif. Di Selangor, 91.4 peratus kanak-kanak bawah lima tahun menggunakan skrin melebihi garis panduan satu jam sehari menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan purata tiga jam sehari.

Kajian lain di Lembah Klang menyimpulkan bahawa masa skrin yang lebih tinggi secara signifikan dikaitkan dengan tahap kegelisahan dan kemurungan yang lebih tinggi.

Kajian neuro-perkembangan mendapati bahawa penggunaan skrin yang berlebihan menggantikan pengalaman bermain fizikal, mengurangkan interaksi sosial, melemahkan tumpuan dan menyumbang kepada isolasi sosial.

Kajian tiga tahun oleh Universiti Georgia menunjukkan bahawa penggunaan skrin awal dikaitkan dengan keinginan sensasi meningkat dan tidur terganggu.

Di samping itu, kajian terkini oleh saintis di Universiti Pittsburgh yang baru sahaja diterbitkan pada Jun 2025 mendapati hanya satu jam tambahan penggunaan skrin sehari pada usia sembilan dan 10 tahun akan meningkatkan skor simptom kemurungan pada awal remaja.

Langkah praktikal yang boleh diambil oleh keluarga dan komuniti termasuk: Waktu makan tanpa skrin, had masa skrin rehat kurang daripada dua jam sehari, bilik tidur bebas skrin dan larangan gajet sebelum tidur. Galakkan anak melakukan aktiviti di luar, beri peluang meneroka dan bina ketahanan melalui aktiviti dunia nyata.

Ahli psikologi juga menyarankan menangguhkan telefon pintar sehingga sekolah menengah, akses media sosial hanya selepas umur 16 tahun, serta sekolah bebas telefon pintar. Langkah-langkah ini boleh menghasilkan perubahan ketara dalam kesihatan mental remaja dalam tempoh dua tahun jika diterap secara meluas.

Masalah kesihatan mental remaja adalah fenomena pelbagai faktor. Faktor seperti genetik, tekanan keluarga, kesempitan ekonomi dan aktiviti neurotransmitter otak, semua ini berada di luar kawalan kita. Namun, penggunaan skrin berlebihan adalah faktor yang boleh diubah.

Kita boleh mengawal penggunaan skrin. Kita boleh memilih untuk merehatkan diri daripada media sosial hanya dengan satu klik di hujung jari.

Simpan telefon anda dan anak anda, mulakan dengan membaca buku bersama atau bermain di luar. Dengan langkah kecil ini, kita mampu membendung peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja di Malaysia. – UTUSAN

SITI FARIZAN MANSOR
Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan
UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×