MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasibnya dan tiga lagi rakan kepada pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan tempat yang bakal ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Idris berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya meminta kerusi tanpa mendapat ihsan daripada PH.
Katanya lagi, sebagai individu yang bergelar ‘pendatang’, mereka tidak mahu dilihat seperti melukut di tepi gantang.
“Biarlah PH menentukan nasib kami sebab dalam konteks 15 orang (ADUN), kita telah membentuk satu gabungan kerana kami mempunyai majoriti.
“Saya tetap menaruh harapan kepada PH. Saya tidak berasa janggal kerana berada dalam sebuah keluarga besar PH.
“Sejak bersama PH saya tidak berasa dicemuh dan tiada tuduhan pengkhianat di sebelah sini,” katanya dalan sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, di sini malam tadi.
Turut hadir tiga lagi ADUN kerajaan yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali iaitu ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Ditanya mengenai komponen PH yang bakal disertainya kelak, Idris berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan dan memerlukan lebih masa.
Tambahnya, dirinya juga menolak untuk bertanding atas tiket Bebas kerana adalah lebih baik bergerak dalam sebuah organisasi yang berstruktur, bersistem dan berstrategi.
“Saya masih bersemangat dan ada kekuatan untuk membantu rakyat demi menyelamatkan Melaka daripada kerakusan pemimpin tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan empat ADUN berkenaan untuk menghadapi PRN kali ini.
“PH membentuk sebuah khemah besar untuk menggabungkan semua pihak termasuk rakan-rakan daripada parti pembangkang yang lain khusus menghadapi pilihan raya ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










