Ahmad Zahid tidak lakukan pecah amanah - Peguam - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tidak lakukan pecah amanah – Peguam

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan pecah amanah apabila memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. kerana wang tersebut masih di bawah kawalan yayasan itu, demikian Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pihak pendakwaan bukan sahaja gagal membuktikan elemen pertuduhan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri melakukan pecah amanah, malah pertuduhan juga tidak menyentuh isu pembelian saham atau hotel di Bali.

Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan Ahmad Zahid tidak perlu membela diri terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan berhujah bahawa Ahmad Zahid mengarahkan sebahagian daripada wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk membeli saham bagi membolehkan anak perempuannya membeli sebuah butik hotel di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah bahawa tertuduh diamanahkan dengan dana Akalbudi bagi tujuan spesifik iaitu membasmi kemiskinan dan menaikkan kebajikan fakir miskin selain menjalankan kajian serta penyelidikan.

Bagaimanapun, Raja Rozela, berkata tertuduh memberi arahan spesifik supaya kesemua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi dikeluarkan sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

Sementara itu, Hisyam turut berhujah bahawa segala keterangan dan hujah oleh pendakwaan terhadap Ahmad Zahid adalah tidak relevan kerana ia jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 22 November ini.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya