WASHINGTON: Perang Iran dan agenda tarif global Presiden Donald Trump mendorong kenaikan kos sara hidup di Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi baharu.
Harga petrol kembali meningkat apabila mencecah AS$4.10 (RM16.70) segelen kelmarin, dan dijangka terus melonjak susulan kenaikan harga minyak mentah global.
Harga minyak mentah Brent turut melonjak melepasi AS$100 (RM409) setong minggu ini, buat kali pertama dalam tempoh dua bulan selepas laporan serangan terhadap sekurang-kurangnya dua kapal tangki yang melalui Laut Merah.
Kenaikan harga bahan api itu memberi tekanan kepada pasaran kewangan yang kembali bimbang terhadap kemungkinan peningkatan semula inflasi, walaupun kadar di AS menurun kepada 3.5 peratus bulan lalu.
Hasil bon Perbendaharaan AS, yang menjadi petunjuk kepada jangkaan inflasi, turut meningkat semula. Kelmarin, hasil bon kerajaan AS tempoh 10 tahun berada hampir 4.7 peratus, paras tertinggi sejak Januari 2025.
Kadar hasil bon berkenaan turut mempengaruhi kadar pinjaman pengguna. Purata kadar faedah gadai janji AS bagi tempoh 30 tahun meningkat 6.85 peratus pada Khamis, paras tertinggi sejak Jun 2025, sebelum turun sedikit kepada 6.81 peratus kelmarin.
Kenaikan harga dan kadar faedah itu kini kembali memberi tekanan kepada pengguna di AS.
Trump berulang kali meremehkan kesan perang itu terhadap kewangan isi rumah rakyat AS.
Bahkan, tekanan terhadap kewangan isi rumah itu berlaku ketika pentadbiran Trump berusaha membina semula program tarif besar-besarannya.
Ketua Ekonomi Moody’s Analytics, Mark Zandi, memberitahu NBC News perang di Iran menyebabkan kos tambahan melebihi AS$1,200 (RM4,908) bagi setiap isi rumah secara purata.
“Kos perang Iran memberi tekanan besar kepada bajet isi rumah rakyat Amerika dan dijangka memberi kesan lebih ketara apabila perang berlarutan, harga petrol kembali meningkat dan kos ketenteraan bertambah,” kata Zandi.










