Ahmad Zahid tidak lakukan pecah amanah - Peguam - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tidak lakukan pecah amanah – Peguam

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan pecah amanah apabila memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. kerana wang tersebut masih di bawah kawalan yayasan itu, demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pihak pendakwaan bukan sahaja gagal membuktikan elemen pertuduhan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu melakukan pecah amanah, malah pertuduhan juga tidak menyentuh isu pembelian saham atau hotel di Bali.

Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan Ahmad Zahid tidak perlu membela diri terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan berhujah bahawa Ahmad Zahid mengarahkan sebahagian daripada wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk membeli saham bagi membolehkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah bahawa tertuduh diamanahkan dengan dana Akalbudi bagi tujuan spesifik iaitu membasmi kemiskinan dan menaikkan kebajikan fakir miskin selain menjalankan kajian serta penyelidikan.

Bagaimanapun Raja Rozela berkata, tertuduh memberi arahan spesifik supaya kesemua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi dikeluarkan sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

Sementara itu, Hisyam turut berhujah segala keterangan dan hujah oleh pendakwaan terhadap Ahmad Zahid adalah tidak relevan kerana ia jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 22 November ini.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya