PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga anggota pertama Senoi Praaq, Datuk Mohd. Nor Abdullah yang telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Oktober lalu.
Facebook Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama para solihin.
“Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara. Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” kata hantaran Istana Negara hari ini.
Allahyarham yang bersara dengan pangkat Asisten Superintenden Polis juga merupakan bapa kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd. Nor.
Beliau yang berketurunan Semai dari Kuala Mensoon, Cameron Highlands adalah anggota pertama memegang nombor 001 pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenali sebagai Senoi Praaq. Sebagai anggota pertama Senoi Praaq, Allahyarham adalah saksi utama dalam setiap perjalanan pasukan Senoi Praaq.
Bermula dengan 10 anggota, Senoi Praaq dibesarkan kepada empat seksyen bermula Mei 1956 dan di atas kecemerlangan mereka, pasukan Senoi Praaq ditingkatkan kepada empat skuadron dengan kekuatan 256 anggota bermula 15 Mei 1959.
Kehebatan Senoi Praaq menyebabkan mereka digelar the silent killers dan kisah ini dirakamkan dalam buku Death Waits in the Dark: The Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite manakala kecekapan dan kemahiran Senoi Praaq sebagai penjejak di dalam hutan menjadi buah mulut di seluruh rantau.
Keberkesanan mereka dalam setiap operasi dibalas dengan penghormatan untuk terus memakai beret merah kebanggaan pasukan khas tentera British, Special Air Service (SAS). – UTUSAN