KUALA LUMPUR : Surat pemecatan akan diberi oleh UMNO kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengkhianati parti.
Ia susulan tindakan ADUN negeri Melaka yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sehingga menyebabkan kerajaan negeri itu tumbang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam hal ini sebuah parti memerlukan wakil rakyat yang setia pada parti sebagai kestabilan sesebuah kerajaan yang memerintah sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.
“Bagi ADUN-ADUN UMNO yang khianat kerajaan BN Melaka, saya harap mereka bersedia untuk terima tindakan dari parti bagi surat pemecatan kepada mereka.
“Saya merasakan persoalan utama bagaimana yang berlaku di peringkat nasional dan di beberapa negeri, taat setia mana-mana wakil rakyat sama ada ADUN atau ahli parlimen hendaklah fokus kepada ketaaatsetiaan kepada parti kalau parti itu dinakhodai UMNO dan Barisan Nasional.
“Untuk itu, saya sarankan langkah bijak dari segi politik dan pentadbiran harus ditangani sebaiknya oleh Pengerusi BN dan juga Pengerusi badan Perhubungan negeri Melaka,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dua ADUN UMNO yang telah berpaling tadah adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Norazman Hassan.
Dalam pada itu, Zahid turut memaklumkan, UMNO dan BN bersedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.be
Jelas beliau, keputusan untuk mengadakan PRN adalah berdasarkan ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian.
“Namun saya mengharapkan SPR selepas menerima perutusan rasmi dari Speaker DUN Melaka (notis pembubaran DUN) untuk mengadakan perbincangan dengan MKN dan Kementerian Kesihatan bagi menentukan apakah PRN akan diadakan mengikut agenda waktu atau tempoh sebagaimana yang terdapat dalam akta pilihan raya.
“Untuk itu, PRN Melaka akan bergantung kepada keputusan SPR atas nashat MKN dan Kementerian Kesihatan. Tentunya sehingga pilihan raya diumumkan oleh SPR, maka Ketua Menteri Melaka akan berfungsi dalam bentuk kerajaan sementara (caretaker government),” katanya lagi.
Dalam pada tu menurut Ahmad Zahid, usaha mengenal pasti calon baharu mewakili UMNO Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh disekat.
Meskipun ia terlalu awal, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan mengemukakan calon harapan baharu bagi menggantikan wakil rakyat yang khianat pada parti tersebut.
“Terlalu awal untuk kita memuktamadkan calon-calon yang akan diketengahkan jika ada PRN. Maka, kita tidak boleh menyekat usaha untuk terus mengenal pasti bakal calon yang akan diketengahkan oleh BN dan UMNO.
“Namun pegangan saya, muka-muka baharu mewakili harapan baharu dan gamit kepercayaan pengundi harus diketengahkan untuk lihat keberlainan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun jelas Ahmad Zahid lagi, pihaknya tetap akan menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada untuk membuat Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun tidak.- UTUSAN ONLINE










