Kesediaan pemulihan perniagaan di Malaysia pada 2026

Kesediaan pemulihan perniagaan di Malaysia pada 2026

KEBANYAKAN organisasi hanya menyedari mereka mempunyai masalah pemulihan bencana pada hari sesuatu rosak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN ini hari kerja biasa. Sistem utama tergendala, kakitangan tidak dapat log masuk, pesanan pelanggan tersekat dan telefon mula berdering. Seseorang berkata, “Tak apa, kita ada backup.” Ayat itu kedengaran meyakinkan, tetapi sering menyembunyikan realiti pahit: sandaran (backup) tidak sama dengan pemulihan. Sandaran hanya menunjukkan salinan data wujud. Pemulihan bencana pula menentukan sama ada anda boleh mengembalikan akses, perkhidmatan dan operasi dalam tempoh masa yang boleh diterima serta dengan kehilangan data yang minimum. Jurang antara kedua-duanya adalah tempat perniagaan Malaysia kehilangan masa, wang dan kepercayaan pelanggan walaupun mereka merasakan telah membuat persediaan yang betul.

Itulah sebabnya Hari Sandaran Sedunia ialah peringatan yang baik, tetapi ia juga boleh memberi keyakinan palsu jika hanya berhenti pada “kita ada backup.” Soalan yang lebih penting ialah adakah anda benar-benar boleh pulih?

Kebanyakan organisasi hanya menyedari mereka mempunyai masalah pemulihan bencana pada hari sesuatu rosak. Ia boleh berpunca daripada kesilapan konfigurasi, kesilapan manusia yang cepat menjadi serius, kompromi kelayakan, gangguan penyedia perkhidmatan atau reaksi berantai apabila satu kebergantungan gagal secara senyap. Dalam persekitaran Malaysia, punca gangguan paling lazim ialah kesilapan manusia dan salah konfigurasi, kompromi kelayakan serta gangguan di pihak penyedia dan semua ini mendedahkan kelemahan yang sama iaitu pemulihan jarang direka, diuji dan dimiliki sebagai satu disiplin.

Ini juga sebabnya pusat respons insiden nasional Malaysia terus memberi amaran mengenai trend perisian tebusan dan menekankan pengurusan sandaran serta kebersihan keselamatan sebagai langkah penting. Pada awal 2026, MyCERT melaporkan peningkatan insiden berkaitan perisian tebusan yang menyasarkan organisasi di seluruh Malaysia. Pada peringkat industri, perbincangan landskap keselamatan siber turut menegaskan ancaman seperti perisian tebusan semakin canggih seiring peningkatan penggunaan awan dan kecerdasan buatan (AI).

 

Sandaran berbanding pemulihan bencana: Perbezaan yang perlu difahami pemimpin

Secara ringkas, sandaran ialah salinan data. Pemulihan bencana (DR) ialah keupayaan untuk memulihkan operasi, sistem, aplikasi, akses, kebergantungan dan aliran kerja dalam tempoh sasaran.

Dua keputusan membezakan organisasi yang sekadar rasa bersedia dengan yang benar-benar bersedia:

RTO (Objektif Masa Pemulihan): Berapa lama operasi boleh tergendala sebelum impaknya menjadi tidak boleh diterima?

RPO (Objektif Titik Pemulihan): Berapa banyak data boleh hilang dan masih membolehkan operasi diteruskan secara bertanggungjawab?

Ini bukan sekadar istilah tekonologi maklumat (IT), tetapi keputusan perniagaan. Jika sistem bil boleh tergendala selama lapan jam, itu keputusan RTO. Jika pesanan hanya boleh kehilangan data lima minit, itu keputusan RPO. Jika anda belum menentukannya atau belum menguji kemampuan mencapainya, maka “ada backup” tidak cukup untuk melindungi daripada gangguan.

 

Mengapa backup masih gagal dalam situasi sebenar

Apabila organisasi gagal semasa insiden, masalahnya jarang pada ‘fail backup’. Masalah sebenar ialah perkara di sekelilingnya.

Pertama, pemulihan tidak pernah diuji. Banyak pasukan hanya menyemak status sandaran tanpa mengesahkan proses pemulihan. Hasilnya ialah rasa selamat yang palsu.

Kedua, kebergantungan tidak jelas sehingga berlaku gangguan. Anda mungkin berjaya memulihkan pangkalan data, tetapi terlupa sistem identiti, Sistem Nama Domain (DNS), kunci, rangkaian atau kebergantungan aplikasi yang menjadikan perkhidmatan boleh digunakan. Di Malaysia, terutamanya dalam kalangan perusahan kecil dan sederhana (PKS), pemetaan kebergantungan sering dipandang ringan.

Ketiga, tiada pemilikan jelas terhadap turutan pemulihan. Apabila semuanya dianggap penting, masa terbuang untuk berdebat.

Keempat, akses menjadi halangan. Banyak organisasi tidak menyedari bahawa semasa insiden, akses kepada akaun dan sistem pemulihan boleh menjadi isu utama.

Akhir sekali, strategi sandaran tidak sepadan dengan risiko. Jika kompromi kelayakan ialah ancaman, sandaran mesti bersifat tidak boleh diubah. Jika salah konfigurasi ialah ancaman, pemulihan mesti mengambil kira kesilapan operasi.

Pengalaman di Exabytes menunjukkan satu senario biasa yang mana banyak organisasi yakin kerana backup disimpan ‘di luar’ sistem utama. Namun, kawalan log masuk yang sama digunakan untuk sistem produksi dan sandaran. Apabila kelayakan dikompromi, penyerang boleh menghalang pemulihan atau memadam sandaran. Masalahnya bukan lokasi sandaran, tetapi kegagalan memisahkan pemulihan daripada operasi harian.

 

Perbezaan ringkas: BaaS berbanding DRaaS

Backup-as-a-Service (BaaS) memberi fokus kepada penyimpanan salinan data. Disaster Recovery-as-a-Service (DRaaS) pula memberi fokus kepada pemulihan keseluruhan operasi. Kedua-duanya penting, tetapi sering disalah anggap sebagai sama.

 

Senarai semak ketahanan Malaysia 2026 (praktikal, bukan teori)

Untuk memastikan pelan pemulihan benar-benar berfungsi ialah mulakan dengan menetapkan senarai pemulihan Tier 1 dan turutan pemulihan. Contohnya: sistem identiti dan akses dahulu, diikuti rangkaian dan DNS, kemudian emel dan aplikasi utama.

Seterusnya, tentukan RTO dan RPO bagi setiap sistem. Tidak perlu sempurna, tetapi perlu jelas.

Pastikan backup boleh dipulihkan, bukan sekadar wujud. Soalan penting ialah bila kali terakhir pemulihan berjaya dilakukan? Adakah sandaran dilindungi? Bolehkah keseluruhan perkhidmatan dipulihkan?

Sediakan runbook yang jelas iaitu siapa isytihar insiden, siapa mengetuai pemulihan, apa keutamaan dan bagaimana komunikasi dilakukan.

Satu perkara penting yang sering diabaikan ialah kriteria pengisytiharan DR sebelum insiden berlaku. Tanpa ini, pasukan mungkin terus cuba membaiki sistem walaupun sepatutnya beralih kepada pemulihan.

Akhir sekali, lakukan latihan. Sekurang-kurangnya dua latihan DR setahun dan satu ujian pemulihan sebenar. Latihan ini akan mendedahkan kelemahan sebenar.

 

Pengajaran Hari Sandaran Sedunia

Hari Sandaran Sedunia mengingatkan kita untuk membuat sandaran. Tetapi persoalan sebenar ialah sama ada kita boleh pulih.

Pada 2026, organisasi di Malaysia perlu beralih daripada sekadar rasa selamat kepada keupayaan pemulihan yang boleh diukur. Tentukan keutamaan, tetapkan sasaran, bina pelan, dan uji secara berkala.

Kerana risiko sebenar bukan apabila sesuatu rosak, tetapi apabila ia rosak dan organisasi tidak mempunyai cara yang teruji untuk memulihkan operasi dengan cepat dan terkawal.

Jika hanya satu perkara boleh dilakukan suku ini, jalankan latihan DR. Ia akan mendedahkan tahap ketahanan sebenar anda jauh lebih baik daripada mana-mana dashboard.

Penulis adalah Ketua Pegawai Operasi Exabytes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×