MERSING: Seramai 92 operator bot pelancongan di daerah ini diarah menjalani ujian saringan air kencing bagi memastikan mereka bebas dadah dalam usaha mewujudkan perairan Mersing yang selamat buat pengunjung.
Bagaimanapun seramai lima daripada mereka berusia 22 hingga 33 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamin dan ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Laut itu turut dilakukan susulan Mersing bakal menerima bilangan pelancong yang ramai menggunakan perkhidmatan bot ekoran pembukaan sempadan negeri.
Katanya, operasi itu juga sebagai langkah proaktif diambil pihak polis dengan melakukan dua saringan air kencing dan Covid-19 bagi memastikan pelancong dan pengguna bot selamat.
“Dalam operasi malam ini ada 95 syarikat yang memiliki kira-kira 200 bot berdaftar dengan Majlis Daerah Mersing bagi perkhidmatan ke lebih 45 pulau yang memang banyak pelancong datang terutama lima pulau yang ada resort iaitu Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.
“Bagi mana-mana operator bot pelancong yang tidak perbaharui lesen dengan menjalani ujian saringan air kencing, Jabatan Laut akan bertindak membatalkan lesen mereka.
“Polis pula akan berterusan melaksanakan operasi ini bagi memastikan operator bot mematuhi peraturan ditetapkan khususnya membabitkan penyalahgunaan dadah yang boleh membahayakan penumpang bot,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Op Gelora Khas Bersepadu Benteng Covid-19 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing malam tadi. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing.
Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekesalan baginda berhubung kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya dan berada di bawah pengaruh dadah.
Ia berikutan penahanan dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak yang positif methamphetamin ketika membawa penumpang menaiki pengangkutan air itu berhampiran Pulau Rawa.
Susulan itu baginda bertitah agar semua agensi penguatkuasaan meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas kerana situasi itu sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, beliau tidak mahu tindakan diambil hanya selepas berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini.
“Kita hendak pastikan perairan Mersing jadi tempat selamat buat pengunjung yang ada. Polis termasuk marin juga akan buat pemeriksaan di jeti-jeti bagi memastikan operator yang bergerak esok (hari ini) telah hadir buat ujian saringan.
“Siapa tidak buat ujian saringan air kencing mereka tidak dibenarkan menjalani operasi bot dan operasi ini kita akan buat secara berterusan,” katanya.