MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka dan Kedah akan menyemak semula tarif air ekoran peningkatan kos penyelenggaraan paip, caj elektrik dan pembinaan loji air baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menanggung kos pembaikan dan penyelenggaraan berjumlah RM15 juta pada 2022, meningkat RM25 juta (2023) dan RM34 juta (2024).
Katanya, kos pembaikan itu bertujuan menyediakan bekalan air yang sistematik dan cekap bagi memenuhi permintaan industri dan masyarakat.
“Kenaikan ini bukan sahaja di Melaka tetapi semakan turut dibuat beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis. Kos ini membabitkan penukaran paip usang yang berusia lebih 40 tahun, masalah tekanan air rendah, pembinaan LRA Jus dan Sungai Jernih serta kolam tadahan air baharu.
“Selain itu, kehilangan air tidak berhasil (NRW) di Melaka mencecah RM300,000 sehari dan boleh mencecah jutaan ringgit jika tidak dibaik pulih. Jangan lihat kenaikan tarif sahaja tetapi perlu mengambil kira kos ditanggung SAMB,” katanya ketika ucapan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.
Terdahulu, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bemban) semasa ucapan penangguhan membangkitkan tindakan SAMB mengemukakan permohonan semakan semula tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Sementara itu di ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menjangkakan semakan semula tarif air yang akan dibuat tidak melebihi lima sen bagi setiap meter padu yang bertujuan menampung caj bekalan elektrik dalam usaha menyediakan air bersih kepada pengguna.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kira-kira 60 peratus kos untuk membekalkan air terawat adalah bekalan elektrik dan sebarang kenaikan tarif utiliti itu akan menyebabkan operator air tertekan disebabkan kos yang terlalu tinggi.
Beliau berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) contohnya perlu membelanjakan sebanyak RM128 juta setahun hanya untuk membayar bil elektrik.
“Elektrik naik tiap-tiap tahun tetapi air tidak boleh naik, jadi ia akan mendatangkan kesan besar kepada operator air. Saya fikir perlu ada penyelarasan dalam usaha kita membekalkan air bersih untuk menampung kos elektrik yang semakin meningkat dicampur kos-kos lain,” katanya selepas melancarkan logo Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) ke-7 2025 semalam.
Kata beliau, kali terakhir tarif air disemak adalah pada 2012 iaitu berlaku kenaikan sebanyak 10 sen bagi setiap meter padu ketika itu.
Katanya, caj penggunaan air minimum yang ketika ini dikenakan pada kadar RM6 juga berkemungkinan dinaikkan RM1 kepada RM7 namun bergantung kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Muhammad Sanusi berkata, selain caj elektrik, kos menyalurkan bekalan air terawat juga merangkumi tenaga kerja, bahan kimia untuk rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.-UTUSAN










