LONDON: Pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho menjadi sasaran baharu Chelsea untuk memperkukuhkan pasukan menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
Bagaimanapun, perpindahan Garnacho ke Stamford Bridge hanya menjadi kenyataan jika pengendali Chelsea, Enzo Maresca menjual pemain sedia ada.
Christopher Nkunku dan Nicolas Jackson kemungkinan besar perlu dijual, walaupun United menurunkan yuran perpindahan yang diminta daripada 70 juta pound (RM400 juta) kepada 40 juta pound (RM228 juta).
Garnacho pula tidak dibawa menyertai jelajah pramusim United ke Amerika Syarikat (AS) kerana dia tidak berada dalam perancangan jurulatih Ruben Amorim.
Turut diketepikan alam siri jelajah itu ialah Antony, Tyrell Malacia dan Jadon Sancho yang turut bakal membawa haluan masing-masing selepas ini.
Aston Villa dan beberapa kelab dari Liga Pro Saudi turut berminat untuk mendapatkan tanda tangan Garnacho, namun tiada perbincangan lanjut setakat ini.
Pengurus Villa, Unai Emery, melihat Garnacho sebagai pemain yang sesuai dengan gaya permainannya, namun bintang Argentina itu lebih cenderung untuk menyertai pasukan yang bermain dalam Liga Juara-Juara.
Keutamaan Garnacho adalah untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dia masih berada di England sementara menunggu masa depannya diputuskan.
Chelsea sebelum ini dilapor cuba merisik pemain sayap itu pada Januari dan sejak itu terus memantau perkembangan situasinya. – AGENSI/UTUSAN










