TUMPAT: Lebih 3,000 penduduk di 12 buah gugusan pulau di Kepulauan Tumpat di sini tidak lagi perlu membawa jenazah menaiki bot untuk ke tanah besar untuk urusan pengebumian selepas tanah perkuburan Islam di Teluk Renjuna di sini sudah mula dibuka.
Keadaan itu bukan sahaja menjimatkan masa dan kos malah memudahkan urusan pengebumian yang sebelum ini cukup mencabar terutama ketika musim tengkujuh atau waktu malam.
Imam Masjid Mukim Teluk Renjuna, Mohd. Amin Zulkahar Saari berkata, tanah perkuburan seluas 0.4 hektar itu mula dibuka Disember tahun lalu dan telah menempatkan 17 jenazah setakat ini.
“Tanah kubur ini dibuka atas tanah milik kerajaan dan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk pulau di sekitar sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang penduduk Pulau Suri, Shamsul Kamal Junuh, 50, memberitahu, sejak puluhan tahun lalu penduduk terpaksa menghantar jenazah menaiki bot ke tanah besar kerana kawasan ini tidak mempunyai tanah perkuburan.
Katanya, kebanyakan jenazah itu akan dikebumikan di Kota Bharu atau Tumpat.
“Antara kubur yang sering kami gunakan adalah Tanah Perkuburan Islam Banggol dan Che Latif di Kota Bharu serta Sungai Pinang, Kok Keli, Kok Pasir dan Kubur Dato di Tumpat.
“Urusan itu memerlukan bot dan van jenazah. Jika cuaca buruk atau air sungai pasang, ia amat menyukarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Roslan Ismail, 53, berkata, pembukaan tanah kubur itu adalah satu kemudahan besar terutama buat penduduk di lima buah pulau iaitu Pulau Seratus, Pulau Suri, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pulau Pantai Baru.
Katanya hal ini kerana kawasan tersebut boleh diakses menggunakan kenderaan berbanding bot sebelum ini.-UTUSAN










