KOTA BHARU: Sebanyak 245 bot nelayan Vietnam bernilai RM367.5 juta bersemadi di dasar laut Kelantan selepas dilucut hak oleh mahkamah dan dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam tempoh 14 tahun ini.
Daripada jumlah itu, 183 bot dilupus secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di sekitar perairan negeri ini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, terbaharu, empat lagi bot Vietnam bernilai RM5.5 juta dilupuskan sebagai tukun tiruan di lokasi 8.3 kilometer dari Pantai Sabak, dekat sini hari ini.
“Empat bot terbabit ditahan dalam Op Naga Barat dan Op Kuda Laut kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara sepanjang tahun ini. Salah satu bot, awak-awaknya bertindak membaling bom diesel serta objek keras kepada Kapal Maritim pada Ogos lalu.
“Kesemua bot itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985. Nilai denda bagi kesemua individu ditahan ialah RM6.7 juta namun mereka memilih untuk dipenjarakan antara tujuh bulan hingga dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di atas Kapal Maritim Amanah selepas operasi pelupusan empat bot nelayan Vietnam terbabit hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Nor Adli berkata, pelupusan bot sebagai tukun tiruan dibantu Institut Sumber Marin Asia Tenggara (SMART) yang menjalankan kajian lokasi supaya tidak menjejaskan biodiversiti marin.
“Bot terbabit ditenggelamkan ke dasar laut sedalam 21 meter dengan menggunakan kaedah tebuk dinding dan pelantar,” ujarmya.
Kata beliau, setakat sembilan bulan tahun ini, Maritim Malaysia Kelantan menahan 22 bot Vietnam yang mana kesemuanya dijangka dilupuskan selewat-lewatnya tahun depan setelah mendapat perintah lucut hak oleh mahkamah.
“Bot-bot ini dilupuskan sebagai tukun tiruan supaya ia dapat menjadi habitat baharu untuk hidupan laut membiak dan hasilnya kelak dapat dimanfaatkan ribuan nelayan pesisir pantai serta pemancing,” katanya. – UTUSAN










