2,159 pelajar di Langkawi mulakan sesi persekolahan bersemuka

2,159 pelajar di Langkawi mulakan sesi persekolahan secara bersemuka

SEORANG guru memeriksa suhu pelajar yang memulakan sesi persekolahan secara bersemuka  di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Langkawi. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 2,159 pelajar sekolah di sekitar pulau peranginan ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad berkata, jumlah tersebut melibatkan keseluruhan sekolah di sini yang berjumlah sebanyak 38 buah.

“Seramai 1,028 pelajar tersebut menuntut di Tingkatan 5 daripada enam buah sekolah di sini memulakan sesi persekolahan secara penggiliran.

“Sementara itu, seramai 138 pelajar lagi merupakan pelajar di Tingkatan 6 Semester 2 daripada dua sekolah di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rozaini memberitahu, selain seramai 140 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di lima sekolah menengah dan 136 murid PPKI daripada enam buah sekolah rendah juga hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Pada masa sama, tambahnya, sebanyak 19 pra sekolah melibatkan 717 murid turut dibuka dengan kehadiran penuh tanpa penggiliran.

Sementara itu, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Dea Vaniessa Mohamad Rohaizat, 17, berkata, dia teruja dan gembira apabila dapat kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka bermula hari ini.

Katanya, dia dan rakan-rakannya sebelum ini hanya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah dan susah berinteraksi dengan guru bertanyakan soalan yang tidak difahami.

“Sepanjang mengikuti PdPR, saya tidak begitu banyak bersuara, jadi dengan sesi pembelajaran bersemuka ini, saya berasa lega kerana dapat bertanya terus kepada guru,” katanya.

Seorang lagi SMK Mahsuri, Muhammad Farhan Hanifah Badrul Hisham, 17, berkata, dia berasa selesa belajar secara bersemuka kerana lebih mudah faham berbanding secara PdPR.

“Peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) juga sudah semakin dekat dan tidak banyak masa yang tinggal, jadi saya akan buat sebaik mungkin dengan sesi bersemuka kali ini,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Sarah Amirah Ismail Rizam, 18, berkata, dia gembira dapat belajar secara bersemuka kerana menghadapi masalah ketika mengikuti sesi PdPR.

“Kalau di rumah, nak tanya soalan kepada cikgu agak susah, selain masalah talian internet di rumah juga tidak memuaskan.

“Peperiksaan juga sudah semakin dekat, jadi sesi bersemuka kali ini akan digunakan sebaiknya untuk bertanyakan soalan kepada cikgu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya