2 premis, 6 individu dikompaun dalam tempoh sehari  - Utusan Malaysia

2 premis, 6 individu dikompaun dalam tempoh sehari 

FISOL Salleh (kanan) ketika menjalankan tinjauan SOP di pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak dua premis termasuk sebuah restoran nasi kandar terkenal di pusat bandar serta enam individu kenakan kompaun berjumlah RM38,000 akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19. 

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan semalam selepas polis menjalankan pemantauan di premis-premis serta lokasi tumpuan ramai di sekitar daerah Timur Laut. 

Katanya, selain itu sebanyak 357 saman trafik dikeluarkan polis semalam kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik. 

“Kita terpaksa saman kerana apabila ada orang buat aduan mengenai pelanggaran SOP dan bila lihat ada kesalahan dilakukan, polis keluarkan saman. 

“Jadi kita minta pemilik premis agar memastikan pelanggan yang datang ke premis masing-masing mematuhi SOP dan lengkap divaksin,” katanya selepas meninjau pantai Batu Ferringhi di sini hari ini. 

Menurut Fisol, polis juga akan bertindak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati memasuki premis tanpa melengkapkan vaksinisasi mereka. 

“Sekarang kita ada pasukan pemantauan rawak di mana kita akan jalankan pemeriksaan di lokasi-lokasi tertentu, jadi memang tiada kompromi lagi selepas ini,” katanya. 

Tambah beliau,secara keseluruhannya menerusi pemantauan polis,  tahap pematuhan SOP di Pulau Pinang adalah memuaskan. 

“Di Pulau Pinang keadaan adalah terkawal namun kita sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa juga kemungkinan,” katanya. 

Sementara itu katanya, aliran trafik ke Pulau Pinang juga meningkat 38 peratus manakala aliran kenderaan di daerah Timur Laut didapati bertambah sehingga 100 peratus. 

“Memang kita menjangkakan kebanjiran pelancong, dan pemeriksaan yang kita lakukan memang terdapat ramai pelancong dari luar negeri seperti Melaka, Johor, dan Selangor. 

“Kami amat mengharapkan orang ramai dapat sentiasa mematuhi SOP kerana polis tidak dapat berada di semua lokasi. Kita perlu sentiasa menjaga diri kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN