GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot tunda berserta dua tongkang (barge) kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insurans dalam Op Pertiwi petang semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kedua-dua bot tunda serta barge itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada jarak 0.3 batu nautika barat laut Sungai Pinang dan 1.1 batu nautika Pantai Bersih lebih kurang jam 4.30 hingga 5.45 petang.
Menurut beliau, bot tunda serta barge pertama dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang kesemuanya berusia antara 21 hingga 42 tahun.
Sementara itu katanya, bot tunda serta barge kedua dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang masing-masing berusia antara 19 hingga 40 tahun.
“Bot dan kesemua mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insurans semasa pemeriksaan dilakukan.
“Pemeriksaan ke atas kru warga asing yang ditahan bagaimanapun mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot serta kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemilik kapal serta nakhoda sentiasa mematuhi peraturan di laut dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.










