KOTA BHARU: Kelantan kini antara negeri ketiga tercorot dari segi peratusan pemberian vaksin Covid-19 bukan kerana penduduknya menolak vaksin, sebaliknya disebabkan bekalan diterima negeri ini lebih rendah berbanding negeri lain.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika Kelantan menerima sejuta dos vaksin sebagaimana diminta pihaknya sebelum ini, negeri ini mampu mencapai imuniti kelompok dalam masa singkat, bulan depan.
Setakat ini kata beliau, pendaftaran sebagai penerima vaksin di seluruh negeri sudah melonjak tinggi namun gerak kerja memberikan suntikan terhad kerana bergantung kepada bekalan disalurkan kerajaan Pusat.
“Kerajaan Pusat telah berjanji untuk menyegerakan agihan vaksin kepada negeri-negeri yang masih lagi rendah tahap vaksinasi.
“Jadi diharap perkara ini disegerakan supaya kita dapat memastikan imunisasi kelompok dalam kalangan rakyat dapat dicapai mengikut jadual,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Akhbar ini semalam melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu enam negeri yang kadar vaksinnya rendah mencapai lebih 50 peratus suntikan menjelang hujung bulan depan.
Enam negeri terlibat adalah Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, jika sasaran sejuta dos vaksin gagal dibekalkan, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk membeli sendiri vaksin, sebagaimana disebut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, baru-baru ini.
“Kesedaran untuk menerima vaksin semakin meningkat di Kelantan dan ini satu petanda yang baik,” katanya. – UTUSAN