Kedudukan PH tidak selamat jika PRN Perlis diadakan

Kedudukan PH tidak selamat jika PRN Perlis diadakan

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berdepan risiko kehilangan satu-satunya kerusi dimiliki di Perlis sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat susulan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, kerusi Indera Kayangan yang dimenangi PH kini berada dalam keadaan tidak selamat.

Katanya, perkara itu berdasarkan analisis keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 Sabah pada 29 November lalu walaupun kawasan berkenaan mempunyai komposisi penduduk 60 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu.

“Sebenarnya tahap ketidakpuasan hati pengundi di Semenanjung adalah lebih tinggi berbanding di Sabah.

“Sekiranya sentimen pengundi Cina sama seperti di Sabah dan kadar keluar mengundi hanya sekitar 40 peratus, PH mungkin hanya memperoleh antara 50 hingga 60 peratus daripada undi tersebut.

“Keadaan ini menjadikan kerusi Indera Kayangan tidak lagi selamat,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Semalam, akhbar ini melaporkan, perebutan jawatan dan desakan kepentingan tertentu termasuk tuntutan projek bercanggah dengan prinsip integriti serta bebas rasuah menjadi punca kemelut politik Perlis sehingga menyaksikan Mohd. Shukri Ramli meletak jawatan Menteri Besar.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pihaknya mempertahan kepemimpinan Mohd. Shukri semasa menerajui pentadbiran dan menyifatkan kemelut politik bukan disebabkan kelemahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkenaan.

Katanya, keengganan Mohd. Shukri tunduk kepada tekanan tertentu menyebabkan beliau dizalimi dan bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.

Tanpa memperincikannya, beliau berkata, dua faktor utama itu sukar diterima menyebabkan Pas mengambil pendirian tegas.

Krisis politik di Perlis selepas wujud gerakan lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga daripada Pas menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Susulan itu, tiga ADUN Pas terlibat terhenti keahlian serta-merta dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN