PUTRAJAYA: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa lokasi panas sekitar Putrajaya selain Kuala Lumpur, kini dipantau Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman.
Menurut hantaran menerusi akaun sosial rasmi Polis Diraja Malaysia semalam, penglibatan operasi unit berkenaan bermula 16 September lalu.
“Antara lokasi itu ialah taman-taman awam yang jelas dapat dilihat ada pertambahan luar biasa pengunjung susulan kelonggaran Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Penggunaan dron dalam pemantauan udara yang dikendalikan unit itu juga mampu bertahan tidak kurang satu jam dan boleh diterbangkan dalam radius sehingga lapan kilometer.
Selain itu, ujar kenyataan tersebut, ia turut memiliki teknologi rakaman gambar serta membuat hebahan awam secara terus dari udara dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Tamil dan Mandarin.
Dron berkenaan berupaya menghantar maklumat kepada pasukan pemantau sekiranya mengesan pengunjung yang ingkar SOP di lapangan sebelum pemantauan fizikal dibuat.
Dua petugas Unit Dron, Sarjan Azreen Shah Alias dan Lans Koperal Mohd. Fahkrudin John Muda bertugas membantu pasukan pemantau dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Sementara di Kuala Lumpur pula, tugas itu diketuai Pegawai Operasi / Risikan Unit Dron, Inspektor Abu Bakar Ismail dengan Koperal Fauziee Awang membantu IPD Dang Wangi. – UTUSAN ONLINE