JOHOR BAHRU: Undi percaya terhadap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilakukan bagi mengukuhkan kedudukan beliau selaku Perdana Menteri yang mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, undi percaya tersebut juga dapat menentukan keabsahan Ismail Sabri selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.
“Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong melalui satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara menitahkan supaya sesiapa jua yang dilantik menjadi Perdana Menteri hendaklah membentangkan Undi Percaya di Dewan Rakyat dengan segera.
“Kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri ini akan dilihat kukuh dan berwibawa sekiranya ia dapat melepasi ujian Undi Percaya apabila sidang Parlimen bermula,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk kerana proses pemilihan telah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan.
Justeru kata beliau, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, titah Yang di-Pertuan Agong itu jelas dan nyata, maka ia perlu dipenuhi kerana ada meritnya sekali gus memberi makna institusi raja berperlembagaan ingin melihat fungsi Parlimen, khususnya Dewan Rakyat diperkasakan.
Tambahnya, Perdana Menteri kesembilan itu dilantik oleh Al-Sultan Abdullah atas sebab beliau memperoleh 114 sokongan ahli Parlimen secara akuan berkanun di luar Dewan Rakyat yang diterima Seri Paduka di Istana Negara.
Jelasnya, jumlah itu sudah memenuhi tafsiran jumlah majoriti di bawah kehendak Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun pelantikan Ismail Sabri dibuat di Istana Negara, bukan dalam Parlimen adalah berdasarkan kuasa budi bicara Agong.
“Jadi, Perdana Menteri perlu menghormati saranan Yang di-Pertuan Agong supaya Undi Percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Agong ingin berkongsi kuasa dengan Dewan Rakyat, suatu institusi kekuasaan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen yang bersumberkan kekuatannya daripada mandat rakyat hasil proses pilihan raya di mana rakyat memilih kerajaan mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, kini keputusan itu terletak di bahu Perdana Menteri yang sudah lulus ujian pertama mendapatkan sokongan ahli Parlimen secara Akuan Bersumpah dan tiada alasan untuk beliau takut dan bimbang membentangkan Usul Percaya.
Jelasnya, jika Perdana Menteri ingkar, ia akan merugikan beliau sendiri dan keabsahannya akan terus dipersoalkan seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai pemimpin yang takut bayang-bayang sendiri.