Pergolakan politik labuh tirai 2025

Pergolakan politik labuh tirai 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2025 menutup tirainya dengan episod politik yang meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan rakyat.

Ketika krisis politik di Perlis diyakini bakal menutup tirai duka ria tahun ini, pentas politik dikejutkan dengan pergolakan Perikatan Nasional (PN).

Ia bermula dengan peletakan jawatan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diikuti dengan empat pemimpin Bersatu yang lain yang lain iaitu Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).

Walaupun dilihat sebagai perpecahan, tetapi ada juga yang menyifatkannya sebagai percaturan sebagai persiapan PN dalam menyusun semula strategi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, dengan penstrukturan semula kepimpinan di peringkat negeri dan pusat.

Barangkali rentetan Datuk Mohd. Shukri Ramli dari parti Pas, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 25 Disember, ekoran lapan exco negeri menandatangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadapnya.

Lapan ADUN terdiri daripada tiga Pas, selebihnya Bersatu yang memercik ketegangan dalam kerajaan negeri yang memerlukan pelantikan Menteri Besar baharu, Abu Bakar Hamzah dari Bersatu, menstabilkan pentadbiran.

Begitupun khabar gembira tetap ada apabila kerajaan melaksanaan kenaikan gaji penjawat awam, meningkatkan perbelanjaan emolumen kerajaan kepada lebih RM105.9 bilion. Bantuan sedia ada diteruskan termasuk yang baharu dalam usaha meringankan beban rakyat.

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40, Bantuan Subsidi Diesel Madani bagi menurunkan kos bahan api, selain Elaun Khas Penjawat Awam 2025.

Bagi pendidikan, diperkenalkan Skim Pendidikan Pintar 2025 dengan bantuan yuran, peranti digital dan akses internet. Usahawan muda pula mendapat Geran Startup Madani. Bantuan perumahan ditingkatkan melalui Skim

Perumahan Mampu Milik Fasa 2025, manakala harga barangan asas distabilkan dengan Subsidi Barangan Asas Strategik.

Tambahan termasuk Elaun Kehidupan Bandar B40 dan Dana Pemulihan Ekonomi Komuniti, menyokong latihan kemahiran dan projek komuniti.

Daripada ukuran ekonomi pula, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 meningkat berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, dipacu prestasi kukuh merentas semua sektor.

Bursa Malaysia juga mencapai sasaran 60 penyenaraian syarikat pada tahun ini, walaupun prestasi FBM KLCI masih di bawah paras 1,700 mata.

Menariknya prestasi mata wang tempatan juga pada tahap tertinggi dalam tempoh lima tahun apabila didagangkan pada paras RM4.03 berbanding dolar AS.

Walaupun perang tarif AS-China berlanjutan, namun negara positif apabila AS menurunkan kadar tarif kepada 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini, menunjukkan hubungan dagang yang lebih baik hasil rundingan kedua-dua negara.

Tahun 2025 juga menyaksikan Malaysia memikul amanah Kepengerusian ASEAN ke-47 ketika ketidaktentuan dunia dan berjaya menghimpunkan kuasa besar dunia di pentas ASEAN terutamanya Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang.

Kisah duka turut membaluti 2025. Ketika umat Islam riang menyambut Syawal kedua pada 1 April, negara dikejutkan dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights yang mencetuskan kebakaran dahsyat. Api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius mengakibatkan lebih 350 mangsa cedera manakala puluhan kediaman dan kenderaan musnah.

Pada 13 Mei, trak dinaiki 18 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dirempuh lori muatan batu di Teluk Intan, mengakibatkan sembilan maut dan sembilan cedera.

Nahas bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula meragut 15 nyawa, manakala enam sekeluarga ditemui lemas di Sungai Korok, Jitra pada 7 Julai, termasuk bayi dan kanak-kanak.

Insiden pelajar perempuan ditikam di tandas sekolah di ibu kota menambah lagi duka rakyat.

Tahun ini turut diakhiri dengan ribut tropika Senya melanda Selangor dan Negeri Sembilan, membawa hujan lebat dan angin kencang, serta banjir.

Dunia turut menyaksikan ketegangan geopolitik Asia Barat. Konflik Israel-Gaza memasuki tahun kedua ini, mengakibatkan lebih 70,000 kematian dan kerugian mencecah RM340 billion sejak tercetus 7 Oktober 2023.

Krisis kemanusiaan ini mendorong pelancaran misi Global Sumud Flotilla (GSF) disertai lebih 1,000 sukarelawan dari 46 negara, bertujuan mencabar sekatan laut Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, menunjukkan solidariti antarabangsa terbesar dalam sejarah moden konflik Gaza.

Tahun 2025 menguji kerajaan dan rakyatnya dari pelbagai sudut politik, sosial dan kemanusiaan, meninggalkan pengajaran berharga yang membuka ruang penyatuan dan keprihatinan bersama. Selamat datang 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN