UMP siap sedia terima 6,334 pelajar kembali ke kampus

UMP siap sedia terima 6,334 pelajar kembali ke kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersiap sedia menerima kemasukan penuntut secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini membabitkan  kumpulan pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus dan mereka lengkap vaksinasi. 

Ia akan dilaksanakan di kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang dekat sini secara berperingkat  selaras pengumuman oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, universiti itu mengenal pasti seramai 6,334 pelajar daripada kumpulan berkeperluan termasuk penuntut tahun akhir yang perlu menghabiskan pengajian mengikut masa ditetapkan untuk kembali ke kampus. 

Jelasnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan bermula pada 11 Oktober ini akan dijalankan secara dalam talian. 

“Namun demikian bermula 15 Oktober ini, ia akan dijalankan secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) mengikut keperluan program pengajian. Ia membolehkan pelajar yang masih berada di rumah meneruskan pengajian secara dalam talian. 

“Pihak universiti turut memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) di kampus termasuklah dengan mengambil kira keperluan vaksinisasi terhadap warga kampus bagi mewujudkan kelompok gelembung kampus yang selamat agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Yuserrie berkata, pihaknya mempergiat usaha menghubungi pelajar yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk mengambilnya sebelum dibenarkan memasuki kampus. 

Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif dalam memastikan kebajikan pelajar dan beberapa aktiviti bersesuaian dalam kampus sedang dikaji pelaksanaannya bagi menyokong persekitaran pengalaman kampus. 

“Suasana kampus pastinya sedikit berubah dengan pelaksanaan beberapa SOP demi keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus,” katanya. 

Menurutnya, pihak universiti juga merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan influx jangkitan Covid-19 dari luar kampus dan menghadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan dalam kampus. 

“Pada masa ini pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Pusat Kesihatan Universiti dan Bahagian Keselamatan sedang menyelaras pergerakan pelajar memasuki kampus. 

“UMP sentiasa mengambil maklum situasi semasa dan merujuk pemakluman terkini daripada pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Para pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-5493333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-4246999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan. Bagi urusan akademik pelajar boleh merujuk pihak fakulti melalui Penasihat Akademik masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.