Tuan Ibrahim tetapkan 10 sasaran buktikan pencapaian awal 100 hari

Tuan Ibrahim tetapkan 10 sasaran buktikan pencapaian awal 100 hari

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air menetapkan 10 sasaran utama bagi membuktikan pencapaian awal ditetapkan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 10 sasaran utama telah dikenal pasti dan akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua Ketua Jabatan di kementerian

Beliau berkata, sasaran itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sektor alam sekitar serta sektor air dan pembentungan.

“Bagi sektor alam sekitar, kementerian menyasarkan untuk menggubal kerangka Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, menggubal struktur asas Pusat Inventori GHG Negara dan membangunkan rangka kerja skim perdagangan karbon domestik.

“Selain itu, kami juga akan melancarkan Hala Tuju Pengekalan Plastik dan melancarkan Portal Pekerjaan Hijau bagi menjana peluang pekerjaan dalam sektor pertumbuhan ekonomi hijau,” katanya pada Majlis Amanat Menteri secara maya di aplikasi Zoom hari ini.

Katanya, bagi sektor air dan pembentungan pula, kementerian akan merancang membangunkan mekanisme penetapan tarif air yang adil dan telus serta mewujudkan lima kawasan baharu bagi projek wakaf air.

Tuan Ibrahim berkata, kementerian juga akan meluaskan penggunaan sumber air pulih guna untuk industri, meluaskan kawasan liputan bekalan air dan pembetungan selain meningkatkan kadar rizab margin air nasional.

“Saya memandang serius perkara ini dan tempoh 100 hari pertama adalah sangat kritikal bagi menetapkan halatuju kementerian dengan lebih jelas.

“Sebenarnya tugas dan peranan kementerian amat banyak. Selain daripada 10 sasaran utama itu,  kita juga tetap melaksanakan fungsi rutin biasa seperti menguatkuasakan undang-undang pencegahan pencemaran.

“Kementerian juga sentiasa meminda akta berkaitan yang relevan, memastikan semua projek kritikal seperti tebatan banjir dan pembaikan hakisan pantai dilaksana mengikut jadual, memenuhi obligasi antarabangsa dan membudayakan kesedaran rakyat terhadap agenda kelestarian alam,” katanya.

Katanya, bagi tempoh dua tahun ini, kementerian juga akan mendepani pelbagai cabaran semasa antaranya Dubai Expo, United Nations Climate Change Conference (COP26), Hari Alam Sekitar Malaysia, perbahasan Bajet 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 juga persiapan ubah suai pejabat kementerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN