Lexis Hotel Group fokus pengembangan strategik

Lexis Hotel Group fokus pengembangan strategik, inovasi hospitaliti 

MANDY CHEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lexis Hotel Group terus mengembangkan strategi perniagaannya dengan memberi penekanan kepada pembangunan produk hospitaliti yang unik dan mampan, bukan sekadar menambah bilangan hartanah.

Presiden Lexis Hotel Group, Datuk Prof. Mandy Chew berkata, kumpulan itu bakal membuka dua hotel baharu iaitu Royal Lexis dan Lexis Hibiscus 2 dalam masa terdekat. 

“Fokus kami adalah untuk membangunkan pengalaman hospitaliti yang beridentiti serta selari dengan perubahan gaya hidup pelancong masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mandy berkata, keyakinan terhadap prospek industri hospitaliti negara, khususnya menjelang Visit Malaysia 2026. 

Katanya, Malaysia mempu­nyai kelebihan dari segi kepelbagaian budaya, kestabilan serta tarikan semula jadi yang mampu menarik pelancong global.

“Namun, pemain industri perlu lebih inovatif dan responsif terhadap perubahan kehendak pelanggan, terutamanya dalam menyediakan pengalaman yang lebih diperibadikan.

“Dalam masa yang sama, faktor kemampanan semakin menjadi keutamaan pelancong, sejajar dengan United Nations Development Programme dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). 

“Sehubungan itu, Lexis telah melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian meliputi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus bagi memastikan operasi setanding dengan piawaian antarabangsa,” katanya. 

Mengulas mengenai kualiti perkhidmatan, beliau berkata, latihan berterusan, pembangunan bakat dan budaya kerja berorientasikan pelanggan menjadi asas kepada jenama Lexis.

Selain itu, penggunaan teknologi seperti sistem daftar masuk, pengurusan pesanan makanan dan parkir membantu meningkatkan kecekapan operasi. 

“Teknologi berperanan sebagai pelengkap kepada sentuhan manusia, bukan pengganti,” jelasnya.

Dalam mengurus hotel dan resort berskala besar, Mandy mengakui cabaran utama adalah memastikan kecekapan operasi tanpa menjejaskan pengalaman tetamu. 

“Isu kekurangan tenaga kerja tempatan juga kekal menjadi cabaran industri.

“Bagi menanganinya, Lexis menggunakan pendekatan pengurusan yang tersusun, perancangan tenaga kerja strategik serta penggunaan data untuk membuat keputusan operasi yang lebih tepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×