Tiga cek diterima Ahmad Zahid untuk sumbangan amal

Tiga cek diterima untuk sumbangan amal

AHMAD Zahid Hamidi hadir ke penghujahan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tiga keping cek keseluruhan berjumlah RM2 juta diterima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi Tetuan Lewis & Co adalah untuk tujuan sumbangan amal.

Peguam Hamidi Mohd. Noh mewakili Ahmad Zahid berkata, dua keping cek adalah sumbangan amal jariah manakala satu lagi untuk sumbangan politik.

Menurut Hamidi dalam hujahannya, keterangan Pengarah Profound Radiance Sdn. Bhd., Azlan Shah Jaffril tidak pernah mengatakan bayaran tiga cek adalah sebagai ganjaran bagi melantik syarikat itu sebagai pusat perkhidmatan sehenti (OSC) Pakistan dan Nepal.

“Berdasarkan keterangan Azlan Shah terdapat dua cek mengandungi butiran charity (kebajikan) manakala satu pula ‘political donation for TPM’ (sumbangan politik untuk TPM).

“Saksi pendakwaan ke-38 itu juga memaklumkan tiada siapa mengarahnya untuk menulis butiran itu dalam ketiga-tiga cek berkenaan,” kata Hamidi dalam hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Justeru Hamidi berkata, tiga pertuduhan iaitu melibatkan pertuduhan ke-16, 17 dan 18 tidak kukuh dipertuduhkan terhadap anak guamnya.

Sebelum ini berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Zahid dituduh menerima tiga cek berjumlah RM300,000, RM1 juta dan RM700,000 pada 3 Ogos 2017 daripada Azlan Shah selaku Pengarah Profound Radiance Sdn. Bhd.

Ia sebagai suapan bagi melantik syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC Pakistan dan Nepal.

Pendakwaan kesemua kes itu dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan hukuman di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Ahmad Zahid kini dibicarakan atas pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada esok ditetapkan untuk giliran pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran untuk mengemukakan hujahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya