PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Adam Corrie tampil mendedahkan dirinya menerima satu hantaran mesej peribadi daripada seorang individu yang dilihat seperti kurang senang dengan inisiatifnya mengislamkan para saudara baharu.
Menerusi entri Instagram, Adam memuat naik tangkap layar perbualan tersebut yang memaparkan seolah-olah individu tersebut mencabar pelakon itu untuk meyakinkannya memeluk agama Islam.
Tiidak mengambil pusing terhadap mesej tersebut, malah pelakon filem KL Gangster itu memberi reaksi dengan cara yang baik menerusi hantaran yang sama.
Menurut Adam, perkongsiannya sebelum ini bukanlah bertujuan untuk bangga, tetapi hanya sekadar ingin membantu mereka yang sudah bersedia dan benar-benar ingin bergelar sebagai orang Islam.
“Ini bukan luahan hati. Ini untuk pengetahuan secara umum yang berniat untuk kembali kepada fitrah. Cara-cara untuk syahadah, ramai yang malu-malu nak bertanya.
“Tiada paksaan kepada sesiapa sahaja untuk kembali kepada fitrah. Semua terpulang kepada empunya diri. Hidayah itu milik Allah, saya hanya boleh menceritakan keindahan Islam. Itu sahaja.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bagaimana caranya untuk mengislamkan ramai saudara baharu sementelah menerima pelbagai mesej.
“Ada yang tertanya-tanya, bagaimana saya boleh syahadahkan ramai orang. Kebanyakan yang saya syahadahkan adalah orang yang saya tidak kenal. Tidak pernah jumpa.
“Mereka yang datang jumpa saya, DM saya menyatakan hasrat untuk syahadah. Jika ada yang seseorang memaksa memeluk Islam itu adalah perkara tidak bermoral,” katanya.
Kongsi Adam lagi, jika seseorang itu berhasrat untuk menjadi seorang Muslim, mereka tidak dikenakan bayaran sebaliknya hanya perlu membawa diri yang tulus cintakan Islam. Serta, perlu membawa salinan kad pengenalan dan dua keping gambar diri.
Sejak kebelakangan ini, Adam sering kali dilihat berkongsi pengalamannya semasa menjalankam proses mengislamkan para saudara baharu, menerusi entri Instagram miliknya.