GEORGETOWN: Tiada kes baharu positif Covid-19 dikesan melibatkan 850 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang sehingga semalam.
Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, kali terakhir anggota JBPM negeri ini dikesan positif Covid-19 adalah melibatkan empat anggota dan mereka menjalani kuarantin pada 1 hingga 11 September lalu.
“Mereka telah menghabiskan tempoh kuarantin dan memotong gelang pink masing-masing pada Ahad lalu (12 September).
“Mereka yang dikesan positif Covid-19 ini juga telah menerima dua dos vaksin Covid-19 dan setakat ini kesemua anggota kita menerima dos vaksin lengkap,” katanya selepas menghadiri Program Sambutan Hari Malaysia JBPM Pulau Pinang di Balai Bomba dan Penyelamat di Jalan Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saadon berkata, setakat ini hanya dua anggota dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 yang merupakan anggota keluarga dan mereka ini sedang menjalani kuarantin.
“Kedua-dua menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing bermula 10 hingga 20 September ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saadon berkata, JBPM Pulau Pinang mengambil inisiatif mengadakan Program Sambutan Hari Malaysia JBPM secara sederhana di Balai Bomba dan Penyelamat di Jalan Perak, di sini untuk menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.
“Program ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan seramai 17 anggota terlibat.
“Pandemik Covid-19 menyebabkan kita tidak dapat menyambut Hari Malaysia seperti tahun sebelumnya, namun semangat cintakan Malaysia tetap diterjemahkan,” katanya.
Tambah beliau, sempena program berkenaan, anggota bomba mempamerkan kemahiran dan menguji ketangkasan masing-masing antaranya menerusi teknik abseiling, flying fox, rope rescue dan beberapa aksi lain sambil membawa Jalur Gemilang.
“Kami berharap semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan anggota bomba juga dapat disemarakkan lagi walaupun program ini diadakan secara sederhana,” katanya. – UTUSAN ONLINE