‘Sekali sahaja naik motosikal’ - Utusan Malaysia

‘Sekali sahaja naik motosikal’

NORLIANA Mohd. Ali (kanan) ditenangkan rakan ketika menunggu urusan bedah siasat suaminya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, semalam. – UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Saya cuba halang, tapi dia pujuk kata sekali sahaja nak naik motosikal, tak sangka itu kali terakhir saya lihat dia,” luah Norliana Mohd. Ali, 31, isteri kepada mangsa kemalangan maut di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi itu, Muhammad Fauzy Borhan, 33, maut di lokasi selepas motosikal Yamaha NVX yang ditunggang merempuh pokok tumbang manakala adiknya, Muhammad Naim Borhan, 30, parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.

MUHAMMAD FAUZY BORHAN

Norliana yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Muar, Johor sejak tujuh tahun lalu berkata, Allahyarham secara tiba-tiba menyatakan hasrat mahu menunggang motosikal untuk bertemu rakan di Semabok sebelum kejadian.

“Saya pelik sebab dia dah lama tak bawa motosikal, ke mana-mana pun biasanya naik kereta saja, saya cuba larang, tapi dia beritahu sekali sahaja.

“Akhirnya saya izinkan dia pergi, tak sangka saya akan teri­ma khabar duka ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, perjalanan dua beradik untuk pulang ke rumah di Muar bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar pokok tumbang di Lebuh AMJ.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, adik iparnya dari Bakri turut bertemu arwah di Sebatu sebelum mereka berdua keluar menaiki motosikal berasingan.

“Adik dia bawa Yamaha Y15ZR manakala arwah naik Yamaha NVX milik abang seorang lagi. Mereka memang rapat, lima beradik dan selalu bersama. Kerja kontraktor pun mereka buat sama-sama, hubungan mereka terlalu akrab,” katanya sambil menahan sebak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN