Ceramah agama tanpa pentauliahan di media sosial diteliti

Ceramah agama tanpa pentauliahan di media sosial diteliti

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneliti aspek pentauliahan penyampaian ceramah agama menerusi platform dalam talian dan media sosial termasuk keperluan memperkemaskan perundangan berkaitan.

Menterinya, Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini urusan pentauliahan mengajar agama masih dikawal selia oleh pihak berkuasa agama di setiap negeri dengan individu yang memenuhi syarat akan diberikan tauliah.

Bagaimanapun katanya, mereka yang didapati melanggar etika pula boleh dikenakan tindakan termasuk diberikan amaran, tidak diperbaharui atau tidak diberikan tauliah.

“Setakat ini kita melihat bahawa setiap negeri itu mengawal dari segi aspek pentauliahan itu. Mereka yang (ada) kelayakan akan diberikan tauliah.

“Mereka yang ada melanggar apa-apa etika dan sebagainya akan diberikan amaran ataupun tidak diperbaharui, mahupun tidak diberikan tauliah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kekangan penguatkuasaan yang dihadapi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama dalam membanteras isu tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya masih meneliti kaedah terbaik untuk menangani perkara itu kerana ia melibatkan aspek perundangan yang perlu diperkemaskan.

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkfli menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong usaha menambah baik undang-undang Syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu, khususnya jenayah di alam siber.

Menurutnya, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah kekal berkesan serta diyakini masyarakat.

“Pendakwaan syariah perlu bergerak seiring perkembangan teknologi. Pengurusan kes secara digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta pemodenan prasarana dan sistem pengurusan kes hendaklah dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan ketelusan penyampaian keadilan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN