KUALA LUMPUR: Baru berusia 15 tahun, anak sulung pengarah filem, Aziz M Osman dan bekas isterinya, Puteri Lily Lokman, Puteri Nur Azzahra atau Ara Aziz, 15, muncul sebagai pelajar termuda di Manipal University College Malaysia (MUCM), Melaka.
Menurut ibunya, Puteri Lily Lokman atau Lily, Ara bakal memulakan pengajian dalam program asasi selama setahun di universiti berkenaan pada 23 Julai ini sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
“Lepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu dan memperoleh sijil O Level, Ara terus menyambung pengajian di peringkat asasi. Insya-Allah, tahun depan dia akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
“Ara juga memasang impian untuk mengambil dua ijazah, namun itu masih perancangan jangka panjang. Buat masa ini, kami mahu dia menamatkan pengajian asasi terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai bidang yang akan dipilih.
“Dia cenderung dalam bidang perubatan, tetapi syarat kemasukan memerlukan pelajar berusia sekurang-kurangnya 18 tahun.
“Disebabkan belum cukup umur, Ara akan meneruskan pengajian dalam bidang lain terlebih dahulu. Bidang yang akan dipilih nanti bergantung kepada perbincangan bersama pensyarah dan pandangan pihak berkaitan,” katanya.
Lily bagaimanapun menyifatkan usia bukanlah penghalang untuk anak perempuannya menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti kerana anaknya sudah biasa bergaul dengan pelajar yang lebih berusia.
“Dia memang sudah biasa berkawan dengan mereka yang lebih tua. Adik-beradiknya juga jauh lebih berusia daripadanya. Jadi, saya percaya suasana di universiti nanti tidak jauh berbeza. Harapnya dia dapat menyesuaikan diri dengan baik,” jelasnya.
Meskipun berbangga dengan pencapaian puteri kesayangannya itu, Lily turut meluahkan rasa bimbang memandangkan perjalanan akademik Ara masih panjang.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya bangga melihat kejayaan Ara. Namun, pada masa sama saya tetap risau kerana perjalanan dia masih jauh. Saya sentiasa berpesan supaya dia menjadi versi terbaik dirinya, terus berusaha dan tidak cepat berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai,” kongsinya.
Berat untuk melepaskan anaknya belajar hidup berdikari, Lily memaklumkan Ara akan berulang-alik ke kampus dan tidak menetap di kolej kediaman, selain mahu mengelakkan anaknya mengalami kejutan budaya.
“Ara memang ada menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara, tetapi buat masa ini saya belum berani melepaskannya. Walaupun dari segi akademik dia berada di hadapan, saya masih belum nampak dia benar-benar bersedia untuk berdikari.
“Saya bimbang dia akan mengalami kejutan budaya. Pada saya, dia masih memerlukan bimbingan dan saya juga masih perlu membimbingnya. Biarlah dia berada dekat dengan saya supaya lebih mudah dipantau.
“Apabila usianya mencecah 18 tahun nanti, sekiranya dia masih berhasrat menyambung pengajian di luar negara atau mengikuti program ijazah yang diimpikan, insya-Allah kami akan cuba merealisasikan hasrat itu mengikut kemampuan. Kami akan sentiasa memberi sokongan dari segala aspek,” ujarnya.










