GEORGE TOWN : Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika sedang memancing di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Pada mulanya, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang seawal pukul 6.38 pagi sebelum agensi itu menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba untuk mendapatkan bantuan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Maritim negeri kira-kira pukul 11.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak segera dikejarkan ke lokasi.
“Ketika ini, operasi pencarian mangsa yang berusia 39 tahun itu sedang giat dilakukan dengan dibantu oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang memancing bersama rakan-rakannya di tiang nombor lima menghala ke jambatan berkenaan sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus yang kuat.-UTUSAN










