PONTIAN: Mayat seorang lelaki warga emas yang terjatuh daripada bot ketika memancing di Sungai Ayer Hitam, Kayu Ara Pasong, di sini semalam, ditemukan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, mayat Albert Tan Siang Fook, 65, ditemukan pada pukul 10.30 malam dalam keadaan lengkap berpakaian dan tiada kesan kecederaan luaran.
“Mayat dijumpai terapung di sebelah tebing kiri menghala ke Pontian Besar, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dari bot.
“Mayat ditemui seorang warga tempatan yang keluar membantu operasi mencari bersama-sama rakan dengan menaiki bot bermula sekitar pukul 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Siang Fook dikhuatiri lemas setelah bot dinaiki bersama anak angkatnya, Chong Hao Chen, 9, melanggar sebarang kayu di sungai tersebut ketika mereka keluar memancing dari Jeti Bumbung Biru, Tanjung Ayer Hitam, Kayu Ara Pasong, di sini pada pukul 8 pagi.
Siang Fook dilaporkan terjatuh ke dalam sungai manakala Hao Chen terselamat apabila sempat berpaut pada bot berkenaan. – UTUSAN










