Rokok seludup RM2.07 juta dirampas

Rokok seludup RM2.07 juta dirampas

WAN NORIZAN Wan Daud (tengah) menunjukkan rampasa 2,402,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai dan bercukai dianggarkan berjumlah RM2,077,724 di Kompleks Kastam, Kelana Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rokok seludup masih mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai golongan khususnya pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.

Keadaan ini dapat dilihat apabila sebanyak 160 kes disiasat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur membabitkan nilai RM35 juta sejak Januari sehingga Jun lalu.

Pengarah JKDM, Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, terbaharu, sebanyak 2,402,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai dan bercukai dianggarkan berjumlah RM2,077,724 dirampas dalam satu serbuan di Klang, dekat sini, baru-baru ini.

Kata beliau, dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi pada 9 Julai lalu, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur bertindak hasil maklumat awam yang diperoleh tiga jam sebelum serbuan dijalankan.

“Hasil risikan yang dilakukan sejak 12 tengah malam, satu serbuan dilakukan di kawasan parkir kontena di Jalan Telekom, Kampung Johan Setia, Klang dan menemukan sejumlah dagangan disyaki rokok putih dan kretek import yang merupakan barang larangan.

“Pemeriksaan lanjut telah menemukan rokok seludup yang di simpan di dalam sebuah kontena bersaiz 40 kaki yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan kekal,” katanya dalam sidang akhbar Kompleks Kastam, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Norizan berkata, rokok yang diseludup dari negara jiran melalui laut telah diedarkan dan diagihkan kepada pembekal tempatan dengan harga pasaran sekitar RM7 sekotak.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kita percaya sindiket ini membawa masuk rokok seludup dari negara jiran sebelum diagihkan kepada kedai-kedai runcit.

“Harga setiap rokok yang diagihkan bergantung kepada kawasan penghantaran,” jelasnya.

Wan Norizan berkata, pengimportan dagangan ini memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras dengan Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Norizan menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan, selain menasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, dan memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN