PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan 31 kluster baharu Covid-19 dengan tempat kerja merekodkan 17 kluster diikuti sembilan kluster komuniti, empat kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster institusi pendidikan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak, Kelantan dan Johor, masing-masing enam kluster; lima kluster di Selangor, empat di Pulau Pinang, dua di Melaka manakala Pahang dan Sabah, masing-masing satu kluster.
Tempat kerja katanya, empat kluster masing-masing di Selangor dan Sarawak, tiga di Pulau Pinang, tiga di Johor, dua di Melaka dan satu di Kelantan.
“Kluster komuniti pula, lima di Kelantan, dua di Sarawak serta Pahang dan Johor, masing-masing satu kluster. Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, dua di Johor serta Pulau Pinang dan Selangor, masing-masing satu kluster manakala kluster institusi pendidikan, satu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 20,988 kes berbanding semalam, 18,762 kes bagaimanapun diatasi kes sembuh iaitu 23,473 kes dengan sebanyak 249 kematian dicatatkan dan 1,001 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 470 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 262,540 kes aktif.
Katanya, Selangor yang kekal menjadi penyumbang terbesar merekodkan sebanyak 4,073 kes diikuti Sarawak (2,992), Kedah (2,455), Sabah (2,329), Johor (1,993), Pulau Pinang (1,600), Kelantan (1,247)
“Enam negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Perak (990), Terengganu (987), Kuala Lumpur (731), Pahang (599), Melaka (407) dan Negeri Sembilan (301). Perlis pula mencatatkan pertambahan mendadak iaitu 90 kes dan Putrajaya, 37 kes manakala Labuan, lima kes,” katanya.
Mengulas mengenai 249 kematian, beliau berkata, Selangor kekal menjadi penyumbang tertinggi iaitu 61 kes diikuti Johor (40), Pulau Pinang (39), Sabah (33), Kedah (16), Kuala Lumpur (16), Melaka (13), Perak (9), Sarawak (8), Kelantan (6), Negeri Sembilan (4), Terengganu (3) dan Perlis (1).
“Kematian melibatkan 153 lelaki dan 96 perempuan dengan 51 warga asing manakala 80 kes adalah kematian yang dibawa ke hospital termasuk 34 warga asing dan 184 orang pula, mempunyai latar belakang penyakit,” katanya. – UTUSAN










