Teliti semula kedudukan 8,000 peserta MM2H - Utusan Malaysia

Teliti semula kedudukan 8,000 peserta MM2H

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan lebih 8,000 peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dikesan tidak pernah bermastautin di negara ini selepas menjadi peserta program itu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, data itu diperoleh menerusi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikeluarkan Jabatan Imigresen (JIM).

Beliau berkata, pihaknya mendapati golongan itu hanya masuk dan datang ke Malaysia untuk tempoh yang singkat iaitu semasa mendaftar permohonan dan semasa hendak memperbaharui pas sahaja.

“Kami akan meneliti semula kedudukan peserta ini bagi mengetahui keinginan sebenar mereka. Saya akan arahkan pegawai di kementerian untuk menghubungi peserta MM2H ini bagi membincangkan perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Hamzah berkata, beliau hanya ingin memastikan bahawa jumlah orang luar yang menetap di negara ini dalam kalangan individu yang berkualiti dan mampu membantu dari sudut ekonomi.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat di negara ini juga tidak perlu gusar kerana jumlah peserta  MM2H di Malaysia hanyalah 57,478 orang termasuk tanggungan masing-masing.

“Setakat 31 Julai lalu, jumlah keseluruhan permohonan pas MM2H yang diluluskan dan aktif adalah 57,478 merangkumi 28,249 prinsipal dan 28,229 tanggungan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Program MM2H yang sebelum ini dibekukan kini beroperasi semula dengan beberapa penambahbaikan dan syarat baharu kepada peserta.

Menurutnya, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan dan menetapkan jumlah bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu masa tidak melebihi satu peratus daripada jumlah warganegara Malaysia.

“Selain itu, KDN juga memberi jaminan bahawa hanya peserta yang berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dibenarkan untuk menyertai program ini.

“Kerajaan turut memperkenalkan 10 syarat baharu yang mampu mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi selepas mengambil kira beberapa pandangan daripada pihak kementerian dan agensi,” kata Wan Ahmad Dahlan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya