Jaga dakwa diacu pisau ketika kejadian rompak kedai telefon

Jaga dakwa diacu pisau ketika kejadian rompak kedai telefon

K. DARSHINDRAN menunjukkan cara pisau diacu ke lehernya sebelum premis dijaganya dipecah masuk semasa ditemui di lokasi kejadian di Taman Cendana, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan separuh masa di sebuah kedai aksesori telefon berdepan detik cemas
apabila mendakwa diugut dan diacu pisau dalam satu rompakan di Taman Cendana, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, T. Darshindran, 21, mendakwa berada di dalam kereta Proton Wira miliknya yang diletakkan di hadapan premis, sebelum didatangi seorang lelaki yang mengacu pisau di lehernya.

“Saya ketakutan apabila lelaki yang memakai kain putih bagi menutup mukanya menyuruh saya diam dan menundukkan kepala jika tidak mahu dibunuh. Saya hanya berdoa agar tidak diapa-apakan kerana ini pengalaman pertama berdepan
detik cemas sejak jadi jaga separuh masa di sini hampir setahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Darshindran yang juga pemandu lori mendakwa, dia melihat lelaki itu mengikat tali daripada motosikal ke pemegang pintu kaca premis sebelum menggerakkan kenderaan itu sehingga pintu tersebut retak.

“Dengan dibantu seorang lelaki lain mereka guna penukul besi dan berjaya pecahkan pintu kaca. Kira-kira 15 minit kemudian dua lelaki terbabit keluar dari premis sambil membawa sebuah beg sebelum melarikan diri dengan motosikal dan sebuah kereta.

“Lelaki yang acu pisau itu turut beri amaran agar saya tidak bergerak sebelum merampas telefon bimbit saya dan sebaik mereka beredar saya pulang ke rumah di Taman Berangan untuk ambil satu lagi telefon bagi menghubungi penyelia dan pemilik memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemilik premis kerugian lebih RM20,000 apabila pelbagai aksesori telefon bimbit dipercayai dicuri dalam kejadian itu.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dakwaan pengawal keselamatan terbabit diugut ketika kejadian juga akan disiasat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN