ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pesara pegawai daerah di negeri ini kerana disyaki memberi keterangan bercanggah.
Sumber memaklumkan, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah, kira-kira pukul 11.30 pagi, semalam.
Katanya, suspek berbuat demikian terhadap kes perbicaraan yang membabitkan Ketua Bahagian Kejuruteraan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah dituduh pada Disember 2021.
Katanya, kes tersebut berkaitan pelantikan syarikat milik saudaranya untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah memberikan keterangan yang tidak selaras di mahkamah dengan keterangan bertulis yang diberikan ketika di pejabat SPRM Kedah.
“Semasa keterangan diambil pada 2021, suspek merupakan Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, perintah reman selama dua hari sehingga esok terhadap suspek dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009. – UTUSAN









