Tebal ‘bonggol maut’ dikurang dua inci - Utusan Malaysia

Tebal ‘bonggol maut’ dikurang dua inci

PETUGAS giat melakukan kerja-kerja pengubahsuaian terhadap struktur binaan lintasan pejalan kaki di depan SMU Sullamiah, Bunut Payung, Kota Bharu malam semalam. - Media Sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Binaan berbonggol di hadapan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Sullamiah, Bunut Payong, di sini yang digelar ‘bonggol maut’ kerana meragut nyawa seorang jururawat Jumaat lalu sebenarnya lintasan pejalan kaki.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir. Mohd. Suhaili Ismail berkata, istilah bonggol tidak tepat kerana binaan itu adalah lintasan pejalan kaki yang dibina khusus untuk kemudahan pelajar SMU Sullamiah melintas.

“Pembinaan lintasan pejalan kaki ini berdasarkan permohonan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMU Sullamiah dengan kelulusan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan demi keselamatan pelajar.

“Selepas diluluskan, peruntukan sebanyak RM12,000 telah diterima tahun lalu untuk digunakan bagi membina lintasan jalan kaki dan lampu isyarat di bawah Program Menaik Taraf Keselamatan Jalan Raya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Utusan Malaysia semalam melaporkan tentang ‘bonggol maut’ yang mengundang kemarahan orang ramai selepas seorang jururawat maut apabila kereta dipandunya gagal dikawal lalu merempuh tiang elektrik sebaik sahaja melalui lokasi tersebut, petang Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Suhaili berkata, JKR Kelantan peka dengan kejadian tersebut dan segera bertindak mengurangkan ketebalan binaan kepada dua inci atau 5.08 sentimeter berbanding ketebalan asal empat inci atau 10.16 sentimeter, malam tadi.

Katanya, binaan itu dikekalkan kerana mengambil kira aduan orang ramai dan kecenderungan segelintir pemandu melanggar had laju ditetapkan 60 kilometer sejam ketika melalui kawasan sekolah terbabit.

“Saya berharap inisiatif ini memberi situasi menang-menang antara pengguna jalan raya dengan pelajar sekolah berhampiran dan para pejalan kaki yang mahu menyeberangi jalan tersebut.

“Bagi pihak JKR Kelantan, kita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Wan Nurintan Wan Hasan, 36, jururawat yang meninggal dunia dalam nahas Jumaat lalu,” katanya.

Tambah beliau, spesifikasi awal lintasan pejalan kaki tersebut mempunyai ketebalan empat inci atau 100 milimeter serta lampu isyarat di kawasan itu adalah bertepatan dengan had laju 60 kilometer sejam ditetapkan di kawasan perbandaran.

Kerja-kerja pembinaan itu kata beliau, masih berbaki 10 peratus merangkumi penyambungan bekalan elektrik pada lampu isyarat, garisan kuning serta pemasangan papan tanda amaran dan dijangka siap sepenuhnya pada minggu kedua Oktober.

“Kita telah mengambil langkah dengan meningkatkan Pelan Pengurusan Lalulintas (TMP) termasuk pemasangan lampu ‘blinkers’ di lokasi berkenaan. Memandangkan ia masih di peringkat pembinaan, ciri-ciri keselamatan belum lengkap sepenuhnya,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.