Tawaran ‘Keluarga Besar Melaka’ kepada pembangkang - Utusan Malaysia

Tawaran ‘Keluarga Besar Melaka’ kepada pembangkang

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menawarkan tawaran ‘Keluarga Besar Melaka’ kepada pembangkang melalui ucapan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu berkata, transformasi sejahtera politik dan pentadbiran dibuat selaras dengan usaha kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan beberapa transformasi Parlimen dan pentadbiran dengan pihak pembangkang,

Kata Sulaiman, beberapa tawaran baharu diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) yang sudah dianggap sebagai rakan strategik, antaranya penjenamaan semula Jawatankuasa Khas Covid-19 Negeri Melaka kepada Majlis Pengurusan dan Pemulihan Covid-19 (MPPC), dengan menjemput pembangkang menyertainya.

“Saya juga telah naikkan peruntukan emolumen untuk Pusat Khidmat ADUN kepada sahabat-sahabat di seberang sana daripada RM42,000 kepada RM60,000 ribu setahun, mulai Januari tahun ini.

“Saya ingin mencadangkan agar Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah atau JTPD yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing, bukan sahaja turut melibatkan ADUN di pihak kerajaan, malah selepas ini kita akan turut mengundang pihak sahabat di sebelah sana untuk turut terlibat sama.

“Saya juga turut mencadangkan supaya keanggotaan Ahli Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka (MTENM) turut mengundang wakil rakan strategik, sahabat kita di sebelah sana untuk menyertainya,” katanya.

Persidangan Pertama, Penggal Keempat, DUN Melaka berlangsung selama empat hari dari 20 sehingga 23 September ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengumumkan, sumbangan kit makanan kepada setiap ADUN tanpa mengira fahaman politik, dengan peruntukan berjumlah RM50,000.00.

“Sumbangan kit makanan berharga RM50.00 bagi setiap kit ini terdiri daripada barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, susu pekat manis dan bihun. Yang

melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.4 juta,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN