Tanah runtuh Kemensah Heights: Pembersihan awal dibuat - Utusan Malaysia

Tanah runtuh Kemensah Heights: Pembersihan awal dibuat

KEADAAN beberapa kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Ampang, Selangor. Sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas yang mana kerja-kerja awal pembersihan dan perlindungan sudah selesai. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Kerja-kerja awal pembersihan dan perlindungan di kawasan tanah runtuh di Kemensah Heights ,di sini seperti pemasangan kanvas pada permukaan tanah dan penggalian semula aliran sungai, selesai.

Pembersihan dan perlindungan itu dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa jabatan lain termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah.

Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz berkata, tindakan awal dilakukan mengikut prosedur supaya langkah seterusnya dapat dilakukan.

“Sudah pasang kanvas, JPS juga akan membantu aliran sungai supaya air dapat mengalir dengan lebih baik dan seterusnya sheet pile dan yang lain sokongan daripada agensi berkaitan.

“JPS sudah melakukan perkara tersebut (galian timbunan tanah di sungai). Tadi pun saya dapat lihat air sudah mengalir dengan lebih baik pada petang ini dan hujan pun agak lebat,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights dilaporkan berlaku malam tadi kira-kira pukul 9.30 melibatkan 27 buah rumah termasuk tiga lot banglo di bahagian atas dan 24 unit rumah bandar yang terletak di bahagian bawah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan dalam pemerhatian awal, bencana itu dilaporkan berlaku bermula pada unit banglo Nombor 8 di Jalan 7 apabila tanah yang menempatkan sebuah kolam renang dan bangunan satu tingkat di bahagian belakang banglo terbabit menggelongsor.

Selain terdapat kesan pergerakan terhadap unit banglo Nombor 6 dan 10, runtuhan tanah terbabit turut menimbusi Sungai Kemensah sehingga menyebabkan aliran sungai terhalang dan kejadian banjir terjadi di kawasan rumah bandar.

Susulan kejadian itu dilaporkan sebanyak 27 keluarga diarahkan keluar dari kediaman masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku sementara kerja-kerja penyiasatan dan pemulihan dilakukan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad menyatakan, pihak berkuasa perlu menjangkakan perkara buruk supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil supaya keselamatan penduduk dapat diutamakan.

“Saya tadi tengok sendiri kesan pergerakan tanah ini masih berlaku, jadi kita tak boleh pandang ringan dan jika cuaca hujan berlarutan, ia mungkin memberi kesan lebih teruk. Kawasan ini sudah lama, tetapi ia akan berlaku, bermakna bencana akan berlaku di mana-mana tempat.

“Inilah peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama jabatan dan unit lain, kami cuba menghidu dalam suasana sekarang mungkin bulan Januari depan, yang mana kita mengagak lebih banyak lagi hujan akan berlaku,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya