AMPANG: Tanah persendirian antara punca kejadian tanah runtuh tidak dapat dikesan lebih awal sehingga memusnahkan tiga unit banglo di Kemensah Height, di sini, malam tadi yang turut menyebabkan Sungai Kemensah tertimbus dan kira-kira 32 keluarga perlu dipindahkan.
Berbanding tanah bukan hak milik persendirian, pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Mineral dan Geosains bagi memastikan pergerakan tanah dan bencana tanah runtuh dapat diramal lebih awal.
Hal demikian dimaklumkan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkata, menjadi tanggungjawab pemilik tanah persendirian memastikan penyelenggaraan cerun dilakukan mengikut undang-undang.
Katanya, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar bagi menyelenggara cerun dekat kawasan seperti Ampang dan Bukit Antarabangsa bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Jadi, usaha-usaha ini berterusan, tetapi yang berlaku pada hari ini adalah cerun di tanah milik persendirian, jadi ada perbezaan di situ di mana tanah milik persendirian ini perlu mengikut peruntukan undang-undang diselenggara pemilik tanah.
Tetapi, tanah-tanah kerajaan memang kita ada data, maklumat tentang kawasan yang perlu kita selenggarakan untuk mengelak kejadian tanah runtuh,” katanya ketika melawat kawasan tanah runtuh di sini hari ini.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.30 malam mengakibatkan tiga buah banglo musnah dan sungai yang terletak di bahagian belakang bangunan berkenaan tertimbus.
Keadaan itu mengakibatkan airnya melimpah keluar membanjiri 16 unit rumah bandar yang terletak di kawasan berhampiran.
Susulan kejadian itu, semua penduduk di kawasan perumahan terbabit dipindahkan di dua pusat penempatan sementara dekat dewan orang ramai di AU2 dan AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) memaklumkan, dia berhubung dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi melihat bagaimana peruntukan boleh disalur bagi membaiki tanah runtuh di Kemensah Height.
“Pada ketika ini, laporan yang dibentangkan ada keperluan untuk membina penghadang bagi menghentikan pergerakan tanah yang berlaku sejak semalam. Saya bimbang dengan cuaca ketika ini kita tidak mahu perkara ini berulang.
“Mengikut laporan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, mereka memerlukan sekurang-kurangnya satu RM1 juta untuk membina shippaw bagi menghentikan pergerakan tanah. Saya menghubungi Menteri Kewangan untuk melihat bagaimana hal ini boleh dibantu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










