PASIR SALAK: Pengurusan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Madrasah Martaul Ulum di Tanjong Sari di sini memohon perhatian pihak berkaitan bagi menaik taraf bangunan dan kemudahan sekolah yang uzur.
Bangunan sekolah yang dibina pada awal 1980-an itu mengalami pelbagai kerosakan serius termasuk atap bocor, lantai mendap dan retak, tingkap berkarat dan pagar patah.
Guru Besarnya, Noor Azizah Mohd. Shari berkata, bangunan sekolah itu perlu dibaik pulih atau dinaik taraf untuk menjamin keselamatan dan keselesaan 93 murid dari empat kampung berdekatan Kampung Tapak Semenang, Kampung Teluk Bharu, Kampung Ladang Baru dan Tanjong Sari.
“Bangunan sekolah kini sudah berusia lebih 45 tahun dan banyak kemudahan asas tidak lagi selamat digunakan, terutama murid darjah satu hingga darjah enam.
“Dengan keadaan fizikal bangunan sekolah yang semakin uzur, kami bimbang ia tidak selamat untuk murid-murid,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Tambah Noor Azizah, pihak sekolah belum dapat memperincikan kos baik pulih sebenar atau pembinaan bangunan baharu disebabkan kerosakan yang banyak.
Antaranya tandas, pagar, pintu, lantai, atap dan tingkap, selain kekurangan kemudahan asas seperti kantin, bilik komputer, padang permainan dan perpustakaan.
Menurut beliau, sekolah hanya ada tiga bilik darjah dan tidak mampu menampung jumlah murid sedia ada pada satu-satu masa.
“Dewan sekolah ketika ini sebenarnya tiga bilik darjah yang disambungkan dengan pintu lipat.
“Jika ingin menganjurkan sebarang program, pintu perlu dibuka dan keadaan struktur dinding yang uzur serta berkarat amat membimbangkan,” katanya. – MINGGUAN










