LIVERPOOL: Mohamed Salah tampil memohon maaf kepada rakan sepasukan selepas kenyataannya yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Pemain tengah, Curtis Jones mengesahkan penyerang Mesir itu telah mengadakan pertemuan dengan skuad bagi menjelaskan situasi sebenar dan menegaskan kenyataannya tidak menjejaskan keharmonian pasukan itu.
“Mo bercakap terus dengan kami dan memohon maaf sekiranya kenyataannya memberi kesan kepada sesiapa, itu menunjukkan kematangan dan sikap profesionalnya. Kami semua masih bersatu,” katanya.
Salah sebelum ini mencuri tumpuan apabila meluahkan rasa tidak puas hati selepas perlawanan seri Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United pada 6 Disember lalu, apabila mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam atas permulaan musim yang kurang meyakinkan serta membayangkan masa depannya di Anfield mungkin berakhir.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan tiada isu berpanjangan membabitkan pemain berusia 33 tahun itu, meskipun Salah diketepikan daripada skuad ketika kemenangan 1-0 Liga Juara-Juara Eropah ke atas Inter Milan, 9 Disember lalu.
Salah kembali memberi impak apabila mencipta bantuan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Brighton & Hove Albion hujung minggu lalu, sebelum berlepas menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Sementara itu, Liverpool yang juga juara bertahan liga kini di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris dengan 26 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Arsenal, namun tetap yakin keharmonian pasukan mampu menjadi kunci kebangkitan mereka dalam musim ini. – AGENSI/UTUSAN









